Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Muda tak letak calon di Mahkota, mahu fokus kuatkan parti
Diterbitkan:  Sep 12, 2024 11:29 AM
Dikemaskini: 3:29 AM

Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) tidak akan menyertai pilihan raya kecil yang bakal diadakan bagi kerusi DUN Mahkota pada hujung bulan ini.

Menjelaskan pendirian tersebut dalam kenyataan hari ini, Muda berkata mereka memilih untuk melaksanakan proses memperkukuhkan keberadaan parti berkenaan di Johor.

Kata Muda, keputusan muktamad berkenaan dicapai selepas perbincangan diadakan di peringkat negeri dan hasil daripada pertimbangan itu dibawa ke peringkat pusat.

"Setelah mengadakan perbincangan di peringkat jawatankuasa negeri dibawa ke mesyuarat jawatankuasa eksekutif pusat, Muda membuat keputusan untuk tidak bertanding dalam PRK DUN Mahkota.

"Buat masa ini, Muda Johor memilih untuk memberikan fokus kepada siri jelajah di seluruh Johor sebagai sebahagian daripada usaha memperkukuhkan akar umbi dan melaksanakan agenda rejuvenasi parti," kata parti itu.

Pengundi di kawasan Mahkota akan memilih wakil rakyat baru bagi mengisi kekosongan kerusi tersebut ekoran kematian penyandangnya Sharifah Azizah Syed Zain pada 2 Ogos lalu.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan PRK tersebut dilangsungkan pada 28 Sept ini.

Walaupun pernah dikalahkan pada 2018, kerusi Mahkota dianggap kerusi yang cukup selamat buat BN ketika ini.

Pada PRN Johor yang diadakan pada 2022, Sharifah Azizah kembali memenangi kerusi Mahkota daripada PH dengan majoriti 5,166 undi.

Adun Mahkota sebelum itu ialah Muhamad Said Jonid (Amanah-PH) yang mengalahkan Md Jais Sarday dengan perbezaan 1,668 undi.

Ketika itu kerusi DUN Mahkota mempunyai seramai 36,225 pengundi namun ketika ini data SPR mencatatkan jumlah itu meningkat kepada 66,318 orang.

Menurut Muda tumpuan parti itu sekarang ialah mengembangkan kehadiran parti untuk ada di setiap daerah di Johor.

"Muda juga akan terus menjadi unsur semak dan imbang dalam memperjuangkan isu-isu setempat yang memberi impak kepada rakyat dengan menekankan kepentingan memperkasa suara mereka di peringkat bawahan melalui Ahli Parlimen Muar (Syed Saddiq Syed Abdul Rahman) & Adun Puteri Wangsa (AMira Aisya Abd Aziz)," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS