Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
‘Cina cakap Cina, Melayu tak faham jadi timbul buruk sangka’
Diterbitkan:  Sep 12, 2024 11:12 AM
Dikemaskini: 7:50 AM

MUKTAMAR PEMUDA PAS l Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man percaya  bahawa isu besar yang berlaku dalam negara pada hari ini adalah wujudnya sifat saling curiga sesama bangsa yang tinggi.

Katanya, perkara tersebut adalah berpunca daripada faktor penggunaan bahasa bangsa itu sendiri, yang menyebabkan orang Melayu berfikiran negatif terhadap bangsa lain.

“Salah satu faktor kecurigaan ialah kerana faktor bahasa. Sebab itu kita kena garab bahasa Malaysia sebagai bahasa perantara.

“Kalau setiap kaum cakap bahasa dia, dia akan timbul buruk sangka. Sebab saya tak faham dia cakap apa. Orang Cina akan cakap Cina, orang Melayu tak faham. Jadi akan timbul buruk sangka,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Muktamar Pemuda PAS ke-65 di Kerdau, Temerloh, malam tadi.

Bagi Tuan Ibrahim, jika semua rakyat bercakap dalam satu bahasa, ini akan mengurangkan buruk sangka sesama mereka.

Katanya, masalah perpaduan dalam negara ini perlu dilihat secara menyeluruh supaya dapat diselesaikan dengan cara yang baik.

Sehubungan itu, timbalan presiden PAS itu berkata, model pemerintahan di negeri Kelantan dalam penyatuan kaum dapat digunakan dalam menyelesaikan masalah perpaduan sekiranya Perikatan Nasional (PN) dapat mentadbir semula negara ini.

“Semua orang sayangkan negara kita, dan tiada siapa yang mahukan pertembungan antara kaum, agama dan sebagainya.

"Sebab itu kita (PAS) ada model (untuk hidup bersatu), dan saya rasa model Kelantan boleh jadi contoh," katanya.

Pada sidang media, Tuan Ibrahim juga mendakwa di Kelantan hampir tiada isu perpecahan kaum.

Beliau memetik bagaimana orang bukan Islam di Kelantan bebas mengamalkan kepercayaan mereka, dan patung Buddha tertinggi di negara ini juga terdapat di negeri itu.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS