Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Greece mula laksana larang pelajar guna telefon dalam kelas
Diterbitkan:  Sep 12, 2024 11:05 AM
Dikemaskini: 3:05 AM

GLOBAL | Pelajar di Greece hari ini kembali ke sekolah selepas cuti musim panas dengan telefon bimbit masing-masing disimpan di dalam beg.

Kerajaan Greece memperkenalkan larangan penggunaan telefon bimbit di dalam kelas pada sesi persekolahan kali ini.

Pun begitu para pelajar masih dibenarkan membawa peranti berkenaan ke sekolah dengan syarat mereka tidak boleh menggunakannya semasa pembelajaran berlangsung.

Selain itu, mengikut peraturan baharu, pelajar tidak dibenarkan mengambil gambar, video atau merakam perbualan rakan pelajar atau guru tanpa kebenaran.

Mereka yang melanggar peraturan itu boleh dikenakan penggantungan sekolah antara satu hingga tiga hari.

“Mari kita membuat perjanjian mengenai perkara ini dan kita patuhinya. Tinggalkan telefon bimbit di dalam beg. Guru dan ibu bapa akan membantu kita ke arah ini,” kata Perdana Menteri Greece, Kyriakos Mitsotakis, semasa melawat sebuah sekolah rendah di pinggir bandar Athens hari ini.

Walaupun beberapa pelajar tidak berpuas hati dengan peraturan baru itu, guru dan ibu bapa sebaliknya menyambut baik langkah berkenaan.

Beberapa negara di Kesatuan Eropah juga mula melaksanakan larangan serupa sama ada dengan syarat lebih ringan atau lebih ketat.

“Sudah tiba masanya untuk mula mengehadkan penggunaan telefon bimbit oleh pelajar, sekurang-kurangnya di sekolah.

"Ramai daripada mereka sering terpaku pada skrin walaupun semasa belajar,” kata guru Cia Panagopoulos kepada Xinhua.

Sementara itu, ibu kepada seorang pelajar sekolah rendah, Evridiki Koutourlis, berkata kanak-kanak kini menggunakan telefon bimbit dari usia yang sangat muda dan mengalami ketagihan.

“Larangan penggunaan dalam kelas adalah langkah positif. Mungkin ia akan mengajar kanak-kanak untuk mula mengehadkan penggunaan peranti selepas sekolah juga.

"Bagaimanapun, saya tidak akan berasa selesa jika kerajaan meminta supaya telefon ditinggalkan di rumah. Saya mahu dapat berhubung dengan anak saya sepanjang hari,” katanya.

- Bernama/Xinhua


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS