Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Pemuda PAS perlu mahir ‘tangkap orang mahu menangkapnya’

MUKTAMAR PEMUDA PAS l Pemuda PAS dituntut mempersiapkan diri dengan kemahiran ‘softskill’ dan ‘hardskill’ untuk memimpin dan mengisi kemenangan.

Malah ketuanya Afnan Hamimi Taib Azamudden berkata Pemuda PAS juga perlu belajar dan mempunyai kemahiran termasuk ‘menangkap orang yang mahu menangkap’.

“Hari ini orang tua (atau orang lama) pun ramai yang kembali menjadi muda dengan kemahiran-kemahiran tertentu khasnya di dalam media sosial. 

“Ada yang kreatif dan mahir membuat ‘content’. Ada juga yang mahir ‘menangkap orang yang hendak menangkapnya’. Nampaknya kita kena belajar kemahiran seperti itu,” katanya yang disusuli reaksi perwakilan yang menggamatkan dewan.

Ahli Parlimen Alor Setar itu berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama Muktamar Pemuda PAS ke-65 di Kerdau, Temerloh, hari ini.

Walaupun tidak menyebut dengan jelas maksud ungkapan tersebut, Afnan dipercayai merujuk kepada perkahwinan kedua Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor dengan seorang pegawai polis, baru-baru ini.

Afnan berkata, bagi memperteguhkan tema ‘kita memimpin’ Pemuda PAS menetapkan tiga hala tuju dan lima teras untuk dilaksanakan dalam lapan sektor yang terdapat dalam organisasi sayap parti itu.

Katanya, hala tuju ditetapkan ialah membina generasi sejahtera yang bersedia memimpin kemenangan, memimpin sokongan anak muda dan menarik sokongan pengundi bukan Islam.

“Untuk memimpin dan mengisi kemenangan, sudah tentulah para pemuda terlebih dahulu perlu mempersiapkan diri dengan kemahiran ‘softskill’ dan ‘hardskill’ seperti yang dinyatakan di awal ucapan tadi. 

“Latihan-latihan ini disediakan oleh Pusat Latihan Kepimpinan Politik (PLKP) samada secara latihan dalaman (internal) mahupun luaran (external). 

“Kemahiran berfikir, penampilan imej pemimpin, kemahiran komunikasi dan pengucapan awam, kemahiran mengurus media, dan kekuatan daya iltizam, semua kemahiran ini telah tersedia dalam bentuk modul, untuk disampaikan kepada para pemuda di seluruh negara,” katanya.

Tambahnya, Pemuda PAS juga mesti terus memimpin sokongan anak muda selepas majoriti anak muda telah menunjukkan sokongan mereka.

“Kita tak boleh biarkan sokongan itu berlalu pergi begitu sahaja. Sokongan itu mesti dipimpin supaya anak muda faham kenapa mereka perlu terus bersama dengan perjuangan ini sama seperti dengan apa yang kita faham. 

“Anak muda perlu terus didekati dengan menggunakan bahasa orang muda, gaya orang muda, pendekatan orang muda. Para pemuda jangan jadi tua sebelum sampai umur tua. Malulah kita kalau masih muda, tapi berwatak seperti orang tua. Kita mesti jadi muda sebab kita nak memimpin anak muda, dalam pelbagai segmen,” kata Afnan lagi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS