Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Teresa saman Akmal RM25 juta bukti DAP 'abang besar' - Pemuda PAS

MUKTAMAR PEMUDA PAS l Pemuda PAS menempelak kepimpinan kerajaan perpaduan yang didakwa sebagai tidak mempunyai perpaduan walaupun berada dalam satu gabungan kerajaan.

Mengambil contoh kontroversi melibatkan ahli Parlimen DAP Teresa Kok yang menyaman Ketua Pemuda Umno Dr Akmal Saleh sebanyak RM25 juta susulan isu pensijilan halal, ketuanya Afnan Hamimi Taib Azamudden berkata, keadaan sedemikian menunjukkan kerajaan yang mentadbir Putrajaya hari ini tidak mempedulikan soal perpaduan.

Afnan Hamimi Taib Azamudden

"Sesama kerajaan perpaduan pun tidak ada perpaduan, hari ini Teresa Kok mengemukakan surat sama kepada ketua Pemuda Umno, padahal mereka daripada satu kerajaan yang sama.

"Sepatutnya tidak dibuat begitu, tetapi ini menunjukkan sikap 'abang besar' DAP dalam kerajaan dan merekalah yang mengatur di sebalik semua ini," katanya pada sidang media selepas perasmian Muktamar Pemuda PAS ke-65 di Kerdau, Temerloh, malam tadi.

Hadir sama Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man.

Sensitiviti orang Islam

Semalam Malaysiakini melaporkan Kok yang juga ahli Parlimen Seputeh mengemukakan surat tuntutan (LOD) terhadap Akmal dengan menuntut ganti rugi RM25 juta.

Dalam notis yang dihantar oleh peguamnya Sankara Nair and Partners, Kok mendakwa Akmal memutar belit kenyataannya mengenai isu pensijilan halal.

Dr Akmal Saleh

Terdahulu Kok yang juga naib pengerusi DAP disiasat polis kerana berkata cadangan kerajaan mewajibkan pensijilan halal bagi restoran dan syarikat makanan yang tidak menghidangkan daging babi dan arak akan membebankan perniaga dan boleh menjadikan Malaysia sebagai bahan ejekan.

Afnan Hamimi yang juga ahli Parlimen Alor Setar mendakwa, kenyataan Kok hanya dianggap sebagai kenyataan peribadi oleh pemimpin kerajaan sedang ia melibatkan sensitiviti orang Islam.

"Bagi saya pemimpin kerajaan perpaduan yang ada pada hari ini tidak mempedulikan soal perpaduan. Sebab itu mereka menganggap kenyataan Teresa Kok sebagai kenyataan peribadi, sebenarnya ia kenyataan yang menyinggung hal ehwal orang Islam.

"Jadi apabila mereka tidak mempedulikan perpaduan bagaimana mereka nak membentuk dan menyemai perpaduan rakyat," katanya.

Afnan Hamimi berkata, atas sebab itu, Pemuda PAS meletakkan tema “Kita Memimpin”. 

“Kita kena terus memimpin kebangkitan rakyat, kebangkitan anak muda untuk menyelamatkan Malaysia daripada orang-orang yang tidak tahu mentadbir, yang hanya menggunakan kuasa untuk membalas dendam untuk kepentingan politik peribadi mereka,” katanya.

Tiada masalah perkauman di Kelantan

Tuan Ibrahim pula menyoroti pemerintahan PAS di beberapa kerajaan negeri sebagai model mewujudkan perpaduan antara rakyat pelbagai kaum di negara ini.

Tuan Ibrahim Tuan Man

Sebagai contoh, kata ahli Parlimen Kubang Kerian itu, di Kelantan hampir tiada isu membabitkan perkauman dan rakyat hidup saling hormat-menghormati.

"Kita ada model pemerintahan di Kelantan, kita di Kelantan hampir tiada isu tentang kaum.

“Kita boleh tengok kehidupan orang bukan Islam, kita benarkan mereka beribadah, patung Buddha tertinggi pun di Kelantan, mereka boleh mengamalkan agama dan saling hormat-menghormati,” katanya.

Gambar Hiasan - Patung Buddha di Kelantan

Mengulas lanjut, Tuan Ibrahim, berkata isu besar yang berlaku dalam negara pada hari ini adalah wujudnya sifat saling curiga sesama bangsa yang tinggi.

Sehubungan itu, timbalan presiden PAS itu berkata, model pemerintahan di negeri Kelantan dalam penyatuan kaum dapat digunakan dalam menyelesaikan masalah perpaduan sekiranya Perikatan Nasional (PN) dapat mentadbir semula negara ini.

Katanya, masalah perpaduan dalam negara ini perlu dilihat secara menyeluruh supaya dapat diselesaikan dengan cara yang baik.

“Saya percaya semua bangsa sayangkan negara ini dan tiada seorang pun mahukan berlakunya pertembungan kaum, katanya lagi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS