Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
PAS Sabah diberi autonomi intai kerjasama politik baru berdepan PRN

MUKTAMAR PEMUDA PAS l Berdepan pilihan raya negeri (PRN) Sabah pada tahun depan, PAS sedang meneliti strategi kerjasama politik baru dalam usaha melebarkan pengaruh di negeri di bawah bayu itu.

Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man berkata kepimpinan PAS Sabah diberikan autonomi dalam menentukan perkara itu kerana mereka lebih memahami konteks politik negeri itu.

"Saya sebut kita perlu lebih terbuka, dalam MN (Muafakat Nasional) kita kekal dan tiada isu, cuma dalam konteks Sabah dia (pemimpin negeri) lebih tahu tentang keperluan di Sabah.

"Saya tengok mungkin satu pendekatan yang sesuai untuk sabah dalam muafakat politik di sana, jadi ini parti akan teliti sebab saya tengok contoh saya sebut tentang autonomi. Umno," katanya pada sidang media selepas merasmikan Muktamar Pemuda PAS ke-65 di Kerdau, temerloh, malam tadi.

Sebelum ini bekas ketua menteri Yong Teck Lee menggesa Perikatan Nasional (PN) supaya tidak perlu bertanding pada PRN Sabah akan datang.

Yong, yang adalah presiden Parti Maju Sabah (SAPP) iaitu sekutu PN serta juga Gabungan Rakyat Sabah (GRS), berkata ini selaras dengan pendirian partinya yang mahu parti dari Semenanjung tidak bertanding pada PRN nanti.

PAS kini mempunyai seorang Adun lantik di Sabah iaitu Dr Aliakbar Gulasan yang juga pesuruhjaya PAS yang mendukung kerajaan negeri pimpinan Ketua Menteri , Hajiji Noor.

Justeru Tuan Ibrahim berkata, pendekatan politik di Sabah adalah berbeza berbanding di semenanjung.

"PAS di Sabah kita ada Adun lantikan sebahagian daripada kerajaan dan kita menyokong kerajaan Sabah, tetapi PN lain.

“Sebab itu kita ada autonomi sendiri dalam konteks Sabah," katanya.

Terdahulu dalam ucapan perasmian Muktamar Pemuda, dia turut menyentuh mengenai pendekatan berbeza perlu diambil parti itu bagi menghadapi pilihan raya di Sabah dan Sarawak.

"Bagi rakan-rakan kita di Sabah dan Sarawak khususnya, saya lihat perlunya satu pendekatan dicari bagi mendapatkan rakan-rakan muafakat politik kita dengan menyambung apa yang ada di semenanjung dan kita melebarkan sayap kita khusus di Sabah dan Sarawak.

"Mungkin sampai masanya akan kita lihat bagaimana satu kuasa, mungkin autonomi perlu diberi kepada Sabah khususnya bagi merancang strategi dan pendekatan sesuai dengan manhaj situasi politik yang ada di sana dan kita yakin kemampuan telah ditunjukkan oleh rakan-rakan di Sabah dan Sarawak," tambah Tuan Ibrahim.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS