mk-logo
Berita
Pemuda DAP Seputeh buat laporan polis terhadap Akmal esok
Diterbitkan:  Sep 11, 2024 11:10 PM
Dikemaskini: 3:10 PM

Pemuda DAP Seputeh akan membuat laporan polis esok terhadap Ketua Pemuda Umno, Akmal Saleh, yang dituduh memfitnah Naib Pengerusi DAP Teresa Kok.

Menurut jemputan media, laporan itu akan dibuat oleh Ketua Pemuda Seputeh Joel Jalleh di Balai Polis Sri Petaling, Kuala Lumpur pada jam 11 pagi.

Laporan polis ini susulan tindakan Teresa, yang juga ahli parlimen Seputeh, menghantar notis tuntutan undang-undang kepada Akmal, menuntut RM25 juta sebagai ganti rugi.

Ini berikutan kenyataan Akmal yang memanggil Teresa "nyonya tua" dan menuduhnya campur tangan dalam urusan Islam serta mencadangkan kerajaan menyediakan logo "tidak halal" untuk dilekatkan di dahinya.

“Kami menunggu maklum balas tanpa lengah. Jika tiada respons memuaskan dalam tujuh hari bekerja dari tarikh penerimaan notis ini, tindakan undang-undang akan diambil tanpa rujukan lanjut kepada anda,” kata notis tersebut.

Sebagai respons, Akmal berkata dia sedia untuk bertarung di mahkamah dan tidak akan "mengalah."

Akmal mengkritik Teresa selepas dia membantah cadangan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Mohd Na’im Mokhtar untuk mewajibkan semua premis makanan yang tidak menyajikan daging babi atau alkohol mendapatkan sijil halal. Teresa berkata cadangan itu akan membebankan perniagaan dan boleh menjejaskan imej Malaysia di peringkat antarabangsa.

Susulan daripada kenyataan tersebut, 50 laporan polis dibuat terhadap Teresa, yang kini disiasat di bawah Kanun Keseksaan serta Akta Komunikasi dan Multimedia.

Pada bulan Julai lalu, Jamal Md Yunos, seorang bekas pemimpin Pemuda Umno yang terkenal, terpaksa membayar RM300,000 kepada Teresa atas saman fitnah yang difailkan terhadapnya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS