Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
8

MUKTAMAR PEMUDA PAS l Gendang perang PAS untuk menawan Putrajaya menjelang PRU-16 mula dipalu hari ini dengan arahan kepada pemuda parti itu untuk mendekati masyarakat bukan Islam.

Berucap pada perasmian Muktamar Pemuda PAS di Kerdau, Temerloh, hari ini, Timbalan Presiden PAS, Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, untuk menawan Putrajaya PAS tidak boleh semata-mata mengharapkan undi Melayu.

Katanya, PAS selaku sekutu gabungan Perikatan Nasional (PN) perlu melihat kepada pembinaan kelompok muafakat politik khususnya di Sabah dan Sarawak.

“Kita juga perlu mendapatkan rakan-rakan politik di Sabah dan Sarawak dan melihat kerjasama luar politik dengan NGO, dan badan-badan bukan kerajaan.

“Pemuda PAS juga perlu perbanyakan penglibatan dengan masyarakat bukan Islam.

“Ini boleh dilakukan dengan membuat rombongan membawa mereka ke Kelantan, Terengganu, Kedah Perlis(negeri-negeri yang diterajui PAS), “ katanya

Menurutnya, masyarakat bukan Islam telah menjauhkan diri daripada PAS akibat pembohongan dan fitnah yang ditaburkan oleh lawan politiknya dan dengan itu sudah tiba masanya untuk menunjukkan kepada mereka realiti kehidupan di bawah pimpinan PAS.

Mereka (bulan Islam) merasa takut untuk mendekati kita dan tidak mengenali kita berpunca pada fitnah yang  melampau. 

“Digambarkan PAS parti ekstrem, parti pelampau, digambarkan gelombang hijau membahayakan negara, akan mengganggu kestabilan negara dan hak beragama.

“Mereka (musuh Islam) melakukan pelbagai penipuan pembohongan kepada masyarakat khususnya kalangan masyarkat bukan Islam.Lantaran itu perlunya dedahkan realiti pentadbiran di Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis kepada masyarakat.

“Maka kerana itu saya mencadangkan supaya Dewan Pemuda memperbanyakkan engagement dengan rakan-rakan kita yang bukan Islam, termasuk rakan-rakan daripada badan-badan bukan kerajaan, (buat) rombongan ke negeri Kelantan, dan Terengganu untuk  mereka melihat sendiri bagaimana kehidupan masyarakat bukan Islam” kata Tuan Ibrahim.

Menurut ahli Parlimen Kubang Kerian itu, PAS tidak seharusnya menumpukan jentera mereka di negeri-negeri  yang parti itu sudah bertapak kukuh.

Untuk mampu merampas Putrajaya pada pilihan raya umum akan datang, katanya, PAS juga perlu mencari rakan sekutu di kawasan yang mereka kurang mendapat sokongan, khususnya di Sabah dan Sarawak.

Tuan Ibrahim turut memberitahu perwakilan supaya membentuk satu lagi kerjasama politik atau pakatan di kalangan sekutu untuk mencapai matlamat, sama seperti yang telah mereka lakukan sebelum ini.

“Untuk menerajui kerajaan Persekutuan kita tidak hanya boleh menumpu kepada gera kerja di negeri yang kita kuat semata-mata. Oleh kerana itu pendekatan poltik perlu dicari bersama dengan rakan-rakan muafakat. 

“PAS menghadapi pilihan raya sudah 15 kali. Dan kita setiap kali pilihan raya kita bersama-sama rakan muafakat politik kita dalam pelbagai kaedah dan method yang diluluskan oleh Majlis Syura Ulama. Sama ada tahaluf siyasi, taawun siyasi, ataupun kita melakukan muafakat kerjasama di kalangan rakan-rakan kita,” katanya.

Justeru, untuk menghadapi cabaran besar pada PRU-16 nanti, Tuan Ibrahim berkata, sudah tiba masanya untuk kita melihat ke arah membentuk sebuah “kelompok muafakat politik”.

“Bagi rakan-rakan kita di sabah sarawak khususnya, saay lihat perlunya satu pendekatan dicari bagi mendapatkan rakan-rakan muafakat politik kita dengan menyambung apa yang ada di Semenanjung dan kita melebarkan sayap kita khusus di Sabah dan Sarawak,” katanya lagi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
8
ADS