Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
ULASAN | Hafiz Quran: Jangan lebihkan kuantiti berbanding kualiti

ULASAN | Melihat kepada kemudahan perkembangan ilmu pada masa kini, institusi tahfiz di seluruh negara juga tumbuh bagai cendawan.

Bilangannya yang begitu banyak memungkinkan kita untuk meramaikan lagi golongan al-Hafiz, iaitu mereka yang telah menghafal 30 juzuk al-Quran dengan lengkap, sejajar dengan hasrat kerajaan melalui Dasar Pendidikan Tahfiz Negara untuk melahirkan 125,000 huffaz professional.

Matlamat mulia ini menandakan permulaan perkembangan pesat pendidikan tahfiz di negara kita. Pada 7 Disember 2013, Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pendidikan ketika itu, Muhyiddin Yassin  mengumumkan Model Pendidikan Islam Ulul Albab diperluaskan pelaksanaannya ke seluruh negara mulai tahun 2014. 

Pengumuman ini menyaksikan aliran TMUA (Tahfiz Model Ulul Albab) telah diperluaskan pelaksanaannya meliputi Sekolah Berasrama Penuh Integrasi (SBPI), Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) dan program Ulul Albab di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM).

Ini perkembangan yang sangat baik dalam usaha kerajaan untuk meramaikan lagi golongan penghafal al-Quran dalam kalangan umat Islam di Malaysia, sekaligus memartabatkan al-Quran di mata masyarakat.

Bagaimanapun, perlu difahami bahawa di sebalik kuantiti yang ingin dikejar, jangan dilupakan kualiti yang kepentingannya jauh lebih utama. Ini supaya pelajar yang sudah tamat pengajian di sekolah, madrasah, pondok atau mana-mana institusi yang menawarkan program tahfiz tidak hanya mempunyai sijil khatam hafazan sahaja, tanpa ada hafazan yang berbaki dalam ingatan mereka.

Hafazan al-Quran mempunyai dua unsur utama, iaitu tasmi’ (memperdengarkan) hafazan baru dan murajaah (mengulang) hafazan lama. Tindakan terlalu fokus kepada hafazan baru sahaja dengan matlamat untuk menamatkan hafazan dengan cepat dikhuatiri akan menyebabkan hafazan lama tidak dijaga dan terus hilang daripada ingatan; ibarat yang dikejar tak dapat, yang dikendong berciciran. 

Situasi hari ini lebih banyak mementingkan kuantiti berbanding kualiti. Contohnya, para pelajar yang berjaya menamatkan hafazan al-Quran dalam tempoh yang pantas akan diberikan hadiah penghargaan. Sudah tentu ini menjadi pemangkin semangat untuk para pelajar menamatkan hafazan mereka secepat mungkin. 

Kebiasaannya, bagi pelajar yang terlalu memecut hafazan mereka untuk mengejar masa, hafazan mereka tidak kukuh bahkan kemungkinan besar hanya sedikit sahaja yang kekal dalam ingatannya. Ini kerana apa yang dihafal pada hari ini tidak diulang lagi disebabkan fokusnya hanya kepada hafazan yang akan dibaca di depan guru untuk esok, lusa dan seterusnya. 

Namun, ia tetap bergantung kepada kemampuan pelajar dan kerjasama yang padu dan kukuh antara guru dan pelajar. Jika pelajar menamatkan hafazannya dalam tempoh yang cepat dan mampu mengingat hafazannya dengan baik, maka itulah yang terbaik.

Seorang pelajar yang tasmi’ satu muka surat sehari dan masih mampu mengingati kesemua muka surat yang dihafalnya adalah lebih baik berbanding pelajar yang tasmi’ lima muka surat sehari tetapi tidak ingat apa yang dihafal sebelumnya. Di sini, kepentingan kualiti jelas jauh melebihi kuantiti.

Kehebatan dalam menghafal al-Quran bukanlah dipandang daripada sudut selaju manakah seorang pelajar itu dapat menamatkan hafazannya. Ia diukur melalui berapa banyak hafazan yang kekal dalam ingatannya setelah menamatkan hafazan. 

Matlamat utama program tahfiz di mana-mana institusi tetap sama, iaitu melahirkan pelajar yang mempunyai hafazan yang mantap, kuat dan kukuh untuk setiap huruf, kalimah dan ayat al-Quran sebanyak 30 juzuk yang meliputi 604 muka surat. Mereka boleh membaca atau menyambung mana-mana sahaja ayat tanpa melihat mushaf dengan kesalahan yang sangat minima.

Mengambil kira matlamat utama ini, maka perlulah disemai dalam diri setiap pelajar sejak awal mereka memasuki dunia tahfiz agar sedar apa sebenarnya yang perlu dilakukan. Janganlah hanya fokus kepada mengejar masa menamatkan hafazan dan meninggalkan pengulangan hafazan lama. 

Guru-guru hafazan juga perlu memberi dan menunjukkan komitmen serta tunjuk ajar yang betul, agar cita-cita melihat ‘al-Quran bergerak’ itu tidak hanya tinggal impian. Mari kita sama-samakan jadikannya sebagai realiti dengan kerjasama semua pihak.


MUHAMMAD AMIRUL ASYRAF MOHD KADRI adalah pensyarah Tahfiz Universiti Tenaga Nasional (Uniten) dan boleh dihubungi di [email protected].

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.




Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS