Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Pet, benar, Pet, terkadang politik itu umpama fiksi.

Suatu malam kau mengigau. Ketika tertidur di sofa panjang dalam sebuah bilik yang masih tersisa rasa mewahnya. Di pejabat Berita Keadilan, Bangsar. “Ah!” jeritmu kuat. Isteri kau, Marina pun menerpa. Mengejutkanmu. Pantas engkau terjaga, dan menjerkah, “sofa ini berhantu!”

Aku tersenyum. Hampir ketawa.

Aku sudah tahu, sofa itu berpenunggu, Pet. Kau, baru sekali dirasuk sampai mengigau, melawan hantu dalam tidurmu. Aku beberapa kali sudah begitu—dan, keseorangan. Di atas sofa panjang itu aku selalu melepaskan diri untuk tidur. Di sudut lain ada sebuah lagi sofa yang agak pendek, dua tempat duduk. Di atasnya, Pak Dino SS meninggal seorang diri. Pada sebuah petang yang mendekati Asar. Ketika itu, komputernya masih menyala dengan sebuah tulisan di skrin yang separuh siap. Dia seperti ingin berehat. Kemudian malaikat datang. Mengambil nyawa.

Tapikan Pet, kau ada pilihan. Aku, tiada. Aku tidak mahu balik ke bilik sewa di Bangsar Utama—bilik yang berhabuk, panas, sempit.

Bangsar Utama tidak selamat lagi. Terutama selepas “Operasi Omega,” 2001. Sepuluh pimpinan Keadilan dan aktivis Reformasi ditangkap. Salah seorangnya adalah kau, Pet. Kemudian daripada itu, bagi meneruskan perlawanan, aku juga yang menyediakan grafik poskad dengan foto sepuluh tahanan agar dibebaskan; ISA dihapuskan.

Seperti ramai isteri orang-orang lain, isterimu, Marina bukan seorang pemidato. Dia tidak boleh bercakap petah di depan khalayak. Dalam sebuah majlis anti-ISA, Marina cuba bercerita tentang kau. Tidak lama selepas dia memulakan ucapan, suaranya tersekat-sekat. Air matanya cucur. Dia tidak tahan lagi. Ucapan pun terhenti. Orang terdiam sejenak. Sebelum ada yang bertepuk tangan. Ada juga yang melaungkan, “Allahuakhbar!” Kita semua melihat dan kenal bayang-bayang kezaliman rejim PM Dr Mahathir Mohamad, dari sana.

Surat khabar Berita Keadilan adalah surat khabar haram. Tidak ada permit KDN. Aku berkerja bawah Khalid Jaafar, ketua pengarang. Dia yang pertama memintaku membuat reka bentuk baharu surat khabar agar titik pada huruf “i” dibubuhkan warna merah. Sejak itu, hampir setiap hari aku di sana. Tidak pasti benar, bila aku diterima bekerja.

Maaf, Pet.

Sejak kita kenal, kita memang sudah tidak sekufu. Kau anak raja, aku orang kampung. Kau suka keju, aku suka singkong; kau suka pop, aku suka rock. Yang memesrakan kita ialah Bahasa Melayu, kerana setiap kali kau berbicara, kedengarannya seperti loghat orang dulu-dulu. Di kampungku.

‘Lalu aku lukiskan mahkota’

Raja Petra Kamaruddin berfikir dan menulis dengan bahasa Inggeris dalam tengkorak kepalanya. Begitu bukunya yang pertama kali diterbitkan, “From Prince to Prisoner” (2001), aku yang sekali lagi membuat reka bentuk kulit depan. Aku pakai foto lama; foto sewaktu Raja Petra dikelek oleh [almarhum] Sultan Selangor.

Pada bahagian belakang foto itu, tertulis, “Kekanda dengan anak Raja Kamaruddin dekat dengan motorsikal kekanda bernama Raja Petra.” Aku letakkan tulisan berkenaan di bahagian depan buku—agar orang tahu, Pet keturunannya raja. Bukan kalangan rakyat biasa.

Lalu aku lukiskan mahkota. Aku tampalkannya di kelapamu—sebagai sebuah penghormatan. Bukan hanya kerana darahmu darah biru, tapi lebih penting bagaimana seseorang yang sewajarnya bermain di dalam pagar istana, telah turun ke jalan raya. Berdemontrasi bersama kami. Itulah alasannya mengapa mahkota adalah layak engkau pakai, di kepalamu.

Tidak sampai dua bulan ditahan ISA, engkau dibebaskan. Marina segera nampak ceria. Dengan reka corak buku berkenaan, dia berikan aku RM300. Bukan kecil jumlah itu buatku. Boleh hidup dan beli rokok, barang seminggu.

Seperti sebuah fiksi, hubungan manusia naik-turun. Di dalam semua cerita, akan sampai waktu perpisahan.

Dalam Kongres Nasional Keadilan di Sungai Petani, 2002, ada suara bantahan di pentas depan yang menghentam Suara Keadilan. Ia terkait apa yang disebut sebagai “laporan muka tujuh” keluaran Oktober. Ia menjadi kontroversi apabila berita itu dianggap merendahkan parti dan pimpinan. Ada yang tidak senang. Atau menangguk di arus deras.

Selepas kongres, Berita Keadilan bertukar tangan. Diambil-alih oleh setiausaha agung. Tapi semua antara wartawan-wartawan muda tidak mahu ikut membentuk sidang penerbitan bawah pengurusan baharu. Kami minggir. Tinggal engkau sahaja Pet, ke sana. Engkau pun menjadi ketua editor. Sementara kami, berselerak.

Mungkin dalam masyarakat kita, kritik belum dianggap sebagai sesuatu yang baik. Lebih baik “kutuk” daripada “kritik.” Sementara dalam tradisi dunia, kritik adalah perilaku pemikiran yang matang lagi mematangkan. Pada tanggapanku begitu.

Rupanya tidak. Rupa-rupanya politik punya cara dan hukum permainan yang lain. Niat ‘membunuh’ tidak perlu alasan untuk membunuh. Bunuh sahaja walaupun tidak punya alasan. Sementara alasan boleh dicari kemudian. Betul, Pet, betul, kami anak-anak muda yang menjadi wartawan, yang menunggu hujung minggu untuk turun ke jalan, begitu naif tidak mengetahui segala hakikat. Idealisme hampir dirasakan hanyalah asas untuk segala fiksi tergubah di atasnya. Dulu dan sekarang.

Jualan Berita Keadilan pun khabarnya merudum. Kandungannya bagiku membosankan. Dipenuhi bahan-bahan yang bukan mengasah otak rakyat jadi kritis, tapi doktrin cara lapuk. 

Kudeta ‘Berita Keadilan’ 

Kawan-kawanku, anak-anak universiti mula tidak mahu membeli. Jauh sekali membaca. Mereka merasakan Berita Keadilan pasca ‘kudeta’ hanya seperti surat khabar parti politik sepertimana lazimnya bahan dakyah rendah. Macam Harakah kalau pun tidak lebih receh daripada Utusan Malaysia. Ia bukan lagi dengan semangat suara rakyat, suara keramat.

Kesan langsung kepadaku ialah aku hilang sumber pendapatan RM1,200 sebulan. Jumlah itu kecil bagi sesetengah orang. Tapi besar bagiku. Lebih besar buat kawan-kawan yang sudah berumah-tangga. Beranak-bini. Sehinggakan teman wartawan yang hilang kerja ada yang datang hendak meminjam duit. Seratus-dua atau lima puluh ringgit jadilah. Mereka mahu membeli susu bayi dan makan tengah hari. Belum lagi yang pusing mahu melunaskan sewa flat di Pantai Dalam—tertangguh berbulan-bulan.

Dari sana, politik di dalam fiksi kita pun seakan terbelah dua. Satu kelompok ialah golongan yang tidak peduli parti. Satu lagi, orang-orang daripada parti, yang selalu pada perkiraan mereka ialah panjat tangga, naik kuasa—tikam belakang, pijak kepala pun tidak mengapa. Seperti kata Mahathir selalu, “tiada kawan yang kekal.” Yang ada hanya matlamat walau apa cara.

Tapi dalam keadaan itu, benak dan hatiku resah. Masih takut-takut kalau berita atau maklumat tidak sampai ke bawah, ke akar rumput. Sebagai anak muda yang tengah terbakar dada, lebih penting bagiku ia media harus cocok dengan nurani rakyat. Kalau tidak, takut-takut nanti Keadilan kalah dalam pilihan raya. Kalaulah parti kalah, perjuangan akan lebih sakit. Ibarat separuh perjuangan lumpuh. Parti politik dan gerakan jalan raya adalah sama pentingnya!

Kegusaran kami terjadi. Dalam PRU tahun 2004, Keadilan tumpas. Tinggal satu kerusi: Parlimen Permatang Pauh. Kerusi tradisi Anwar Ibrahim yang ditandingi oleh Dr Wan Azizah Ismail.

Hidup dan politik yang keras atau ganas sebeginilah yang menjadikan aku mahu ikut langsung dan aktif dalam parti; sesuatu yang tidak terbayangkan sebelumnya. Aku mulai merasa perlu, anak-anak muda yang mahukan perubahan wajib berdaya mempertahankan diri kalian sendiri. Bukan berserah takdir kepada yang lain—demi itu, kita harus terjun ke tengah-tengah pusaran lubuk ganas kuasa. Berani atau tidak, tiada pilihan kerana seperti ungkapan Tariq Ibn Yazid, “di belakang laut, di depan musuh.”

Di situ, kita seolah-olah semakin berjarak. Pet, kau kekal sebagai penulis dan pengkritik di media yang dibangunkan sendiri: Free Malaysia Today (FMT). Tapi aku separuh dianggap sebagai penulis atau budayawan; separuh lagi sebagai aktivis atau orang politik. Mujur sahaja aku temukan cebisan jawapan daripada masa lalu, yakni setiap orang politik yang tangguh perlu menjadikan kerja tulis-menulis sebagai sebahagian kerja politiknya. Di sana nantilah yang membezakan antara “orang politik” bajingan biasa, dengan, “orang pergerakan” yang berjuang.

Selepas PM Abdullah Ahmad Badawi, Najib Razak naik kuasa. Sejak itu, aku hanya mendengar engkau telah ke England Raya. Menjadikan Manchester sebagai pengkalan serangan, sampai hujung nafasmu, kelmarin.

Sebenarnya aku sedar Pet, engkau add aku sebagai friend di media sosial. Tapi aku diam walaupun ada ketika aku sangat tidak bersetuju denganmu. Biarlah kita berjarak jauh dari segi tempat dan terkadang berseberang pandangan, aku tetap menghormati kau, Pet, seperti dulu-dulu: kenalan yang aku kalungkan mahkota penghargaan di kepadanya. Biarlah ia tidak diiktiraf pun oleh sesiapa.

Damailah di sisi Tuhan Yang Maha Mulia. Terima kasih Raja Petra Kamaruddin—1950-2024. Al-Fatihah.


HASMI HASHIM atau Budi Hekayat seorang penulis lirik dan otai komuniti Jalan Telawi.

Artikel ini pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian sidang redaksi Malaysiakini. 


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS