Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Teresa dipanggil MCMC pula, maklumat telefon diambil
Diterbitkan:  Sep 11, 2024 4:56 PM
Dikemaskini: 9:29 AM

Naib Pengerusi DAP, Teresa Kok, dipanggil ke ibu pejabat Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) di Putrajaya petang ini.

Ini berkaitan kenyataannya mengenai isu pensijilan halal, yang turut disiasat di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia (AKMM) 1998 atas "penyalahgunaan kemudahan rangkaian dan perkhidmatan rangkaian".

Malaysiakini difahamkan pegawai MCMC telah mengambil maklumat berkaitan daripada telefon bimbitnya bagi membantu siasatan.

Melalui pesanan teks kemudian, Kok berkata, "baru selesai siasatan forensik di MCMC. Semuanya berjalan lancar."

Semalam, pihak polis turut menyiasat kes sama di bawah Seksyen 298 dan Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan merakam kenyataan ahli parlimen Seputeh itu.

Ketua Polis Negara Razarudin Hussain, yang mengklasifikasikan kes ini sebagai "3R" (kaum, agama dan raja), mendedahkan sejumlah 50 laporan polis telah dibuat terhadap Kok.

Seksyen 298 Kanun Keseksaan mengenai "menyebut perkataan-perkataan dan sebagainya dengan sengaja berniat hendak melukakan perasaan agama seseorang."

Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan pula berhubung kenyataan yang mendatangkan khianat awam "dengan niat hendak menyebabkan atau yang mungkin menyebabkan ketakutan atau kegentaran kepada awam atau kepada mana-mana golongan awam supaya oleh demikian itu seseorang mungkin terdorong melakukan sesuatu kesalahan terhadap negara atau ketenteraman awam."

Cadangan tersebut pertama kali diumumkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Mohd Na'im Mokhtar.

Susulan itu Kok berkata cadangan mewajibkan pensijilan halal itu berpotensi meningkatkan beban kos perniagaan, termasuk ribuan pengusaha restoran Melayu.

Bagaimanapun, ia mencetuskan maklum balas 'panas' terutamanya daripada Ketua Pemuda Umno, Dr Akmal Saleh dan Ketua Pemuda Bersatu Wan Ahmad Fayhsal Wan Kamal, yang menuduh Kok melampaui batas dan campur tangan hal ehwal Islam.

Tiga hari lalu, Perdana Menteri Anwar Ibrahim menjelaskan kenyataan naib pengerusi DAP itu - yang menentang cadangan mewajibkan restoran dan syarikat makanan yang tidak menyajikan babi dan alkohol mendapatkan pensijilan halal - tidak mewakili pendirian PH.

Anwar berkata kenyataan Kok mengenai perkara itu telah mencetuskan kontroversi yang tidak perlu dan tidak relevan.

Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil hari ini berkata hasil kajian mengenai cadangan mewajibkan pensijilan halal dijangka akan dibentangkan kepada kabinet oleh Na’im minggu depan.

[Berita penuh menyusul]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS