Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Kes saman 1MDB: Penyiasat penipuan, peguam Arul Kanda berbalas hujah

Pasukan peguam Arul Kanda Kandasamy berhujah seorang penyiasat penipuan kewangan yang berpangkalan di UK membuat dakwaan spekulatif dan tidak berasas terhadap bekas CEO 1MDB itu.

Bagaimanapun, penyiasat itu Richard Templeman tetap dengan dakwaannya bahawa Arul Kanda boleh mengetahui tentang transaksi 1MDB yang didakwa salah jika bekas CEO itu menjalankan siasatan.

Peguam Arul, Sanjay Mohan dan saksi 1MDB bertikam lidah semasa perbicaraan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini berhubung tuntutan saman AS$1.83 bilion (RM8.05 bilion) syarikat pelaburan negara itu terhadap bekas CEO itu.

Tindakan sivil itu turut menyasarkan bekas ketua setiausaha perbendaharaan Mohd Irwan Serigar Abdullah, yang juga bekas pengarah 1MDB.

Sanjay merujuk beberapa bahagian kenyataan saksi tambahan Templeman yang menyebut Arul boleh menemui beberapa transaksi yang tidak wajar jika dia melakukan siasatan.

Antara transaksi tersebut, pelaburan 1MDB lebih satu bilion dolar dalam Brazen Sky Limited, yang dibuat sebelum Arul mengambil alih jawatan CEO pada Januari 2015.

Sanjay: Kenyataan saksi tambahan dengan anda mendakwa atau mencadangkan anak guam saya mungkin telah menemui maklumat tertentu adalah spekulatif dan tidak berasas.

Templeman: Saya tidak setuju.

Sanjay: Apabila anda membuat kenyataan saksi tambahan ini (pada tahun ini), anda tidak mengambil kira semua dokumen yang dikemukakan dalam perbicaraan ini?

Templeman: Ya.

Sanjay: Dakwaan atau komen anda berdasarkan separuh kebenaran dan hanya beberapa dokumen serta perspektif mengenai apa yang hanya diperkatakan oleh pihak plaintif (1MDB).

Templeman: Saya tidak setuju.

Sanjay: Anda tidak memberikan pandangan yang seimbang dan pandangan anda tidak berasas.

Templeman: Saya tidak setuju.

Namun, penyiasat penipuan kewangan dari UK itu mengakui Arul bukan CEO semasa beberapa transaksi mencurigakan yang melibatkan berbilion ringgit dana 1MDB berlaku antara tahun 2009 dan 2014.

Shahrol Azral Ibrahim Halmi memegang jawatan CEO dari tahun 2009 hingga 2013 dan kemudian Mohd Hazem Abd Rahman mengambil alih sehingga awal tahun 2015. Arul kemudian menyertai 1MDB sebagai CEO sehingga tahun 2018.

Perbicaraan di hadapan pesuruhjaya kehakiman Raja Ahmad Mohzanuddin Shah Raja Mohzan bersambung petang ini dan esok.

Pada Mei 2021, 1MDB memfailkan saman terhadap Arul Kanda dan bekas ketua perbendaharaan Mohd Irwan Serigar Abdullah untuk pampasan terhadap kerugian yang ditanggung.

Kerugian itu berkaitan pelaburan dalam usaha sama bersama Petrosaudi Limited, yang ditukar kepada pelaburan di Brazen Sky Limited, yang dikatakan terdapat dalam Bridge Global Fund.

1MDB mendakwa mereka melakukan pecah amanah dan konspirasi dengan menyeleweng dana 1MDB berjumlah AS$3.5 bilion (RM15.4 bilion), yang didakwa dibayar kepada Aabar Investments dan AS$1.265 bilion yang dibayar kepada International Petroleum Investment Company (IPIC) pada 9 Mei 2017.

1MDB diwakili peguam Lim Chee Wee manakala Irwan Serigar diwakili peguam Lavinia Kumaraendran.

[Baca berita asal]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS