Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Teresa tuntut ganti rugi RM25 juta dari Akmal
Diterbitkan:  Sep 11, 2024 2:46 PM
Dikemaskini: 7:34 AM

Ahli Parlimen DAP Teresa Kok mengeluarkan surat tuntutan (LOD) kepada Ketua Pemuda Umno Dr Akmal Saleh menuntut ganti rugi RM25 juta.

Dalam notis yang dihantar oleh peguamnya Sankara Nair and Partners, Kok mendakwa Akmal memutar belit kenyataannya mengenai isu pensijilan halal.

“Kami menunggu jawapan anda tanpa berlengah-lengah.

"Jika anak guam kami tidak menerima sebarang maklum balas yang memuaskan daripada anda dalam tempoh tujuh hari bekerja dari tarikh penerimaan notis ini, arahan kami adalah untuk memulakan tindakan undang-undang tanpa merujuk kepada anda lagi," kata notis itu.

Semalam, Ahli Parlimen Seputeh itu disoal siasat polis kerana berkata cadangan kerajaan mewajibkan pensijilan halal bagi restoran dan syarikat makanan yang tidak menghidangkan daging babi dan arak akan membebankan perniagaan dan boleh menjadikan Malaysia sebagai bahan ejekan.

Sebagai jawapan, Akmal menyelar Kok sebagai "myonya tua" yang tidak sepatutnya mencampuri urusan Islam dan berkata dia akan meminta kerajaan menyediakan logo tidak halal untuk ditampal di dahi pemimpin DAP itu.

Kok, yang merupakan naib pengerusi DAP, kemudian menjelaskan bahawa dia hanya melaksanakan tanggungjawabnya sebagai ahli parlimen yang dipilih pengundi dengan menyuarakan masalah yang dihadapi rakyat berbilang kaum.

Kok juga berkata dia tidak mempunyai peluang untuk membawa perkara itu melalui saluran dalaman seperti yang dicadangkan Perdana Menteri Anwar Ibrahim kerana cadangan itu dibuat di forum terbuka melalui kenyataan menteri agama.

Mengulas lanjut, notis itu berkata kata-kata Akmal telah menggambarkan Kok sebagai seorang perkauman yang tidak menghormati Islam, dan tidak mempunyai pengetahuan mengenai pensijilan halal, antara lain.

Ia juga dikatakan menggambarkan Kok sebagai seorang yang tidak sensitif dan jahil yang menentang dasar kerajaan mengenai amalan dan agama Islam, serta individu yang merosakkan keamanan dan keharmonian negara, dan "musuh negara" yang tidak setia kepada negara.

"Adalah mengecewakan anak guam kami bahawa walaupun dengan penjelasannya diterbitkan, anda telah cuai, melulu, sengaja, berniat jahat dan telah gagal untuk menurunkan dan/atau menarik balik fitnah yang dipertikaikan dan/atau kata-kata fitnah.

"Akibat daripada kegagalan, kecuaian dan niat jahat anda untuk tidak menarik balik kenyataan berunsur fitnah walaupun selepas anak guam kami mengeluarkan dan/atau menerbitkan penjelasan tersebut, anda telah menyebabkan anak guam kami menerima tekanan yang ketara dan/atau memalukan daripada masyarakat dan telah menyebabkan anak guam kami dikenakan siasatan oleh polis," baca notis itu.

Oleh itu, tambahnya, Kok tidak mempunyai pilihan selain memulakan tindakan undang-undang terhadap Akmal untuk mempertahankan reputasinya.

Antara lain, Kok menuntut Akmal untuk segera dan tanpa ragu-ragu menarik balik kenyataannya, menerbitkan permohonan maaf tanpa syarat dan tidak boleh ditarik balik dalam cara dan medium yang akan diputuskan oleh Kok dan peguamnya, dan membuat akujanji bertulis untuk tidak mengulangi sebarang dakwaan atau komen lanjut seumpamanya.

Selepas disoal siasat semalam, Kok memberitahu pemberita bahawa dia akan "berunding dengan peguamnya" mengenai kemungkinan memfalkan saman terhadap Akmal.

Dalam jawapannya, Akmal berkata dia akan berdepan dengan Kok di mahkamah.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS