Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Kastam Perlis rampas syabu bernilai lebih RM2 juta
Diterbitkan:  Sep 11, 2024 1:27 PM
Dikemaskini: 5:27 AM

Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Perlis menggagalkan cubaan menyeludup masuk dadah jenis syabu seberat 73.319 kg yang disembunyikan dalam bungkusan teh Cina di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Padang Besar, awal bulan ini.

Pengarahnya Ismail Hashim berkata rampasan itu dilakukan selepas pihaknya memeriksa sebuah kenderaan jenis Isuzu MU-X bernombor pendaftaran Thailand di laluan import unit khas pemeriksaan penumpang kira-kira jam 8.15 pagi pada 3 Sept lalu.

Katanya pemandu kenderaan tersebut iaitu lelaki dipercayai warga Thailand melarikan diri.

"Hasil pemeriksaan JKDM menemukan 56 peket teh Cina bertulis Guanyinwang disembunyikan dalam ruangan khas di bawah tempat duduk penumpang belakang barisan kedua.

"Turut dijumpai ialah 14 bungkusan hitam disorokkan di bahagian ruangan khas dipercayai diubah suai di lantai tempat duduk penumpang belakang barisan pertama,” katanya pada sidang media di Padang Besar hari ini.

Ismail berkata pemeriksaan lanjut menemukan dadah disyaki jenis methamphetamine atau syabu berisi di dalam peket teh Cina dan bungkusan hitam terbabit.

Ismail berkata dadah itu dianggar bernilai RM2.34 juta dan mampu digunakan 730,000 penagih.

Kes tersebut, katanya, disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Dalam kes lain, kata Ismail, JKDM Perlis merampas 3,164 batang rokok dianggar bernilai RM3,160 termasuk cukai dalam pemeriksaan di sebuah kedai runcit di Kangar dan Kedah pada 5 Sept lalu.

Menurut Ismail JKDM Perlis turut merampas 22.35 liter minuman keras bernilai RM248.55 dan melibatkan cukai RM1,040 yang dipercayai tidak berkastam dalam pemeriksaan di kedai runcit di Kangar dan Kedah itu.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS