Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Pemimpin PH Johor bimbang Akmal jauhkan pengundi bukan Melayu

Dua pemimpin Pakatan Harapan (PH) Johor menyatakan kebimbangan bahawa serangan terhadap Ahli Parlimen Seputeh Teresa Kok, khususnya oleh Ketua Pemuda Umno Dr Muhamad Akmal Saleh, boleh menjejaskan peluang BN pada pilihan raya kecil (PRK) Mahkota akan datang.

Bercakap kepada Malaysiakini, Ahli Parlimen Pasir Gudang Hassan Karim berkata serangan ke atas Kok oleh Akmal dan lain-lain, serta keputusan Perdana Menteri Anwar Ibrahim untuk menegur ahli parlimen DAP itu, mungkin mengecewakan pengundi bukan Melayu.

“Jangan terperanjat jika ramai rakyat penyokong PH dari kalangan masyarakat Cina yang memilih untuk tidak keluar mengundi seperti di PRK Sungai Bakap," katanya.

Mahkota adalah kawasan campuran, dengan hanya 54 peratus pengundi adalah Melayu, manakala 35 peratus lagi adalah Cina, dan 8 peratus India.

Sebelum ini, dalam PRK Sungai Bakap, peratusan keluar mengundi Cina adalah lebih rendah daripada jangkaan dan dilihat sebagai undi protes terhadap kerajaan Madani dan kecenderungan Anwar menarik pengundi Melayu dengan mengorbankan penyokong bukan Melayu mereka.

Kok baru-baru ini menjadi sasaran kecaman selepas dia mengkritik cadangan mewajibkan pensijilan halal bagi semua kedai makan dan perniagaan makanan yang tidak menjual daging babi atau alkohol.

Kok, dan lain-lain, berhujah bahawa rancangan sedemikian akan membebankan banyak perniagaan, termasuk perniagaan milik orang Islam.

Ahli parlimen DAP itu juga berkata bahawa peraturan sedemikian akan mengganggu hak pelanggan untuk memilih, dan menjadikan Malaysia bahan cemuhan.

Akmal adalah antara yang menyelarnya, menggelar ahli parlimen Seputeh itu sebagai "nyonya tua" dan mengancam untuk menampal "logo tidak halal" di dahinya.

Naib Ketua DAP Johor Sheikh Umar Bagharib Ali, dalam satu kenyataan hari ini, berkata percubaan Akmal untuk menjadi "anak jantan" sebaliknya menunjukkan dia sebagai seorang Muslim yang biadab.

Seperti Hassan, Sheikh Umar juga bimbang ketua Pemuda Umno itu akan memberi kesan yang tidak diingini kepada pengundi.

"Saya telah mula bergerak kebawah bertemu pengundi dalam seminggu ini. Respons yang saya terima agak membimbangkan.

"Pengundi bukan melayu khususnya, memang sangat tidak selesa dengan pendekatan Dr Akmal.

"Namun yang turut mengejutkan ialah, pengundi Melayu juga ada yang tidak selesa dengan sikap Akmal yang dianggapnya sebagai gangster," katanya.

Sheikh Umar berkata di kerusi campuran seperti Mahkota, kempen Madani mesti sederhana dan meraikan perpaduan dalam kepelbagaian, dan tidak tertumpu kepada siapa yang lebih "jantan".

Oleh itu, dia berkata Umno mesti menguruskan Akmal - yang katanya mewakili parti dan bukan hanya seorang individu.

Begitu juga, Hassan berkata Akmal juga perlu bertenang dan berdamai dengan hakikat bahawa Malaysia adalah sebuah negara berbilang kaum.

Dia berkata semasa Kok disiasat kerana 3R (kaum, agama, raja), DAP tetap komited untuk berkempen untuk kemenangan BN di Mahkota.

Hari penamaan calon bagi PRK Mahkota pada Sabtu ini, dengan pengundian pada 28 Sept.

Umno akan mewakili BN untuk mempertahankan kerusi itu, manakala Perikatan Nasional (PN) meletakkan calon Bersatu.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS