Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Guan Eng tak tanding pemilihan negeri di tengah perebutan dalaman
Diterbitkan:  Sep 11, 2024 11:30 AM
Dikemaskini: 3:30 AM

Bekas ketua menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng tidak akan menyertai pemilihan parti peringkat negeri.

Perkembangan ini hadir di tengah-tengah spekulasi perebutan dalaman di peringkat negeri melibatkan pihak yang bersekutu dengan Guan Eng yang dilaporkan cuba mendapatkan kawalan yang lebih besar.

Antara calon terkenal yang bersaing untuk jawatan jawatankuasa pusat DAP Pulau Pinang ialah adik Guan Eng, Lim Hui Ying, Menteri Sumber Manusia Steven Sim, Ahli Parlimen Bukit Gelugor Ramkarpal Singh, dan ahli exco negeri Jagdeep Singh Deo dan Zairil Khir Johari.

Calon lain termasuk veteran parti Chong Eng, Soon Lip Chee, Teh Lai Heng, dan Yeoh Soon Hin.

Terdapat 32 calon keseluruhannya bertanding untuk 15 jawatan jawatankuasa pusat.

Jawatankuasa itu kemudiannya akan melantik antara mereka jawatan penting, termasuk pengerusi DAP Pulau Pinang seterusnya.

Spekulasi timbul mengatakan bahawa Hui Ying dan Sim adalah antara pesaing untuk jawatan tertinggi parti negeri.

Pemilihan dan konvensyen DAP Pulau Pinang akan diadakan pada 22 Sept.

Guan Eng tidak pernah bertanding dalam pemilihan DAP Pulau Pinang - walaupun ketika menjadi ketua menteri.

Penggantinya, Chow Kon Yeow, menerajui DAP negeri selama 25 tahun, tetapi memutuskan untuk tidak bertanding dalam pilihan raya tahun ini di tengah-tengah kebimbangan bahawa dia mungkin tidak memenangi tempat dalam jawatankuasa negeri.

Setiausaha Agung DAP Anthony Loke bagaimanapun memberi jaminan bahawa Chow akan kekal sebagai ketua menteri sehingga tempoh DUN tamat.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS