Bekas pembantu penyelidik kepada Anwar Ibrahim, Muhammed Yusoff Rawther, kini berada dalam tahanan reman polis kerana disyaki memiliki senjata api dan dadah.
Peguamnya, Rafique Rashid, memberitahu Yusoff ditahan polis Kuala Lumpur kira-kira 9.30 pagi pada 6 Sept lalu.
“Polis dilaporkan menemui dua pucuk pistol dan 305g dadah dipercayai ganja dalam kenderaan yang dinaikinya.
"Yusoff telah ditahan reman sejak 6 Sept lalu," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Dia juga menjelaskan Yusoff ditahan reman bagi membantu siasatan yang dibuat mengikut Akta Dadah Berbahaya 1952. Sebelum itu, katanya, polis memohon agar Yusoff direman mengikut Akta Senjata 1960 namun ditolak mahkamah.
"Yusoff telah memberitahu pegawai penyiasat bahawa senjata api dan dadah itu bukan miliknya dan dia tiada kaitan dengan bahan terlarang berkenaan.
"Ujian air kencingnya juga negatif," kata Rafique.
Ada sensitiviti tersendiri
Yusoff sebelum ini mengemukakan saman terhadap Anwar kerana mendakwa dirinya diserang secara seksual oleh perdana menteri terbabit.
Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur baru-baru ini menetapkan tujuh hari pada Jun tahun depan untuk melangsungkan perbicaraan penuh saman berkenaan.
Peguam yang mewakili Anwar, Navpreet Singh, berkata perbicaraan tersebut akan dijalankan di hadapan hakim John Lee Kien How @ Mohammad Johan Lee pada 16 hingga 19 Jun, dan 23 hingga 25 Jun 2025.
Rafique menambah dalam kenyataannya Yusoff memberitahu polis bahawa pistol dan dadah itu diletakkan sebagai perangkap oleh pihak yang berdendam atau bermusuhan dengannya.
Kata peguam itu lagi, nama-nama pihak yang dimaksudkan oleh Yusoff itu serta kaitannya dengan pemimpin politik negara ini sudah dimaklumkan kepada polis.
Tambah Rafique, Yusoff memohon kepad apolis untuk dibenarkan membuat laporan polis berhubung perkara tersebut agar pembelaan dapat dibuat seawal mungkin.
"Yusoff amat risau tentang keselamatan beliau, apatah lagi kes-kes sivil beliau terkait dengan individu-individu berpengaruh masih berjalan.
"Kes-kes ini mempunyai sensitivitinya tersendiri," katanya.
Menurut Rafique lagi, semua ahli keluarga Yusoff teguh sokongan kepadanya dan berharap polis melaksanakan tugas mereka dengan profesional.
"Reman Yusoff akan tamat pada esok (12 Sept) dan perkembangan lanjut akan diketahui lewat petang ini," katanya.