Paling Popular
Terkini

Empat pertuduhan salah guna kuasa bekas perdana menteri Muhyiddin Yassin yang dikaitkan dengan program Jana Wibawa kekal.

Mahkamah Rayuan pagi ini menolak permohonan Ahli Parlimen Pagoh itu untuk semakan keputusan awal untuk mengembalikan semula pertuduhan jenayah.

Kes salah guna kuasa Pengerusi Perikatan Nasional (PN) membabitkan RM232.5 juta itu dikaitkan dengan program pemerkasaan kontraktor bumiputera.

Pada 15 Ogos tahun lepas, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membatalkan empat pertuduhan kerana didakwa cacat dan tidak mendedahkan butiran untuk Muhyiddin mengemukakan pembelaan sewajarnya.

Mahkamah Rayuan pada Februari tahun ini telah mengubah keputusan ini. Muhyiddin kemudian meminta semakan keputusan ini.

Panel rayuan terdiri daripada lima hakim yang dipengerusikan oleh hakim Azizah Nawawi hari ini memutuskan bahawa keputusan sebelum ini adalah sah.

Bercakap bagi pihak rakan hakim Mohd Ruzima Ghazali, Ahmad Zaidi Ibrahim, Azman Abdullah, dan Azhahari Kamal Ramli, dia berkata mahkamah rayuan mempunyai bidang kuasa untuk mendengar rayuan pihak pendakwaan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi itu.

"Panel terdahulu mempunyai bidang kuasa untuk mendengar perkara itu (rayuan pihak pendakwaan). Semakan ini ditolak," kata Azizah.

Ini bermakna kes akan dikembalikan semula ke Mahkamah Sesyen.

Ketika ditemui media di Istana Kehakiman Putrajaya, peguam Muhyiddin Hisyam Teh Poh Teik berkata mereka akan mengkaji keputusan hari ini untuk menentukan tindakan seterusnya.

Pada Mac tahun lepas, di hadapan Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, Muhyiddin minta dibicarakan atas empat pertuduhan salah guna kuasa dan tiga pertuduhan tambahan pengubahan wang haram.

Di bawah Seksyen 23(1) Akta SPRM 2009, dia didakwa menggunakan kedudukannya sebagai perdana menteri ketika itu dan presiden Bersatu untuk dorongan RM232.5 juta daripada tiga syarikat dan seorang individu, antara 1 Mac 2020 dan Ogos 20, 2021.

Tiga syarikat itu ialah Bukhary Equity, Nepturis Sdn Bhd, dan Mamfor Sdn Bhd, manakala individu terbabit ialah Azman Yusoff.

Tiga pertuduhan pengubahan wang haram itu dibentangkan di bawah Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 - dibaca bersama Seksyen 87(1) Akta yang sama.

Pemimpin berusia 77 tahun itu didakwa menyalahgunakan kuasanya untuk Bersatu menerima RM125 juta hasil daripada aktiviti haram daripada Bukhary Equity antara 25 Feb 2021 dan 8 Julai 2022.

Pendakwaan diketuai oleh Ketua Bahagian Rayuan dan Perbicaraan Jabatan Peguam Negara (AGC) Mohd Dusuki Mokhtar.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS