Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Sijil halal: Restoran bukan Islam perlu diberi pilihan - Primas

Persatuan Pengusaha Restoran India Malaysia (Primas) berpendapat tiada keperluan mengenakan peraturan wajib pensijilan halal bagi restoran makanan bukan Islam.

Presidennya J Govindasamy (gambar bawah) bagaimanapun berkata cadangan pensijilan halal itu langkah baik untuk perniagaan kerana membolehkan lebih ramai pelanggan Islam mengunjungi restoran mereka dan meningkatkan pendapatan mereka.

"Saya percaya bahawa tidak ada keperluan untuk mengenakan peraturan wajib bagi restoran makanan bukan Islam untuk mendapatkan pensijilan halal.

"Saya percaya jika restoran tertentu tidak mengutamakan pelanggan Islam, mereka harus dibenarkan beroperasi tanpa pensijilan halal.

"Pensijilan halal tidak perlu diwajibkan. Keputusan sama ada untuk memiliki pensijilan halal (atau tidak) harus diserahkan kepada restoran untuk membuat keputusan mereka," katanya kepada Malaysiakini.

Katanya, yuran permohonan yang tinggi dan syarat yang ketat akan menyebabkan kos perniagaan meningkat berakibat harga makanan lebih tinggi.

Mengulas lanjut, Govindasamy berkata buat masa ini semua restoran perlu mendapatkan lesen daripada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan dipantau secara berterusan oleh jabatan kesihatan.

"Terdapat pemeriksaan berkala dalam kebersihan dan kualiti makanan supaya standardnya tinggi. Setiap tahun restoran diberi penggredan oleh PBT yang akan memberi kelebihan.

"Terdapat juga ulasan dalam talian mengenai restoran oleh pelanggan.

“Terdapat banyak kes restoran ditutup selama dua minggu atas pelbagai sebab oleh jabatan kesihatan," katanya lagi menjelaskan aspek kawal selia sedia ada.

Semalam Persatuan Pengusaha Restoran Muslim Malaysia (Presma) meminta kerajaan mengadakan sesi libat urus terutama bersama peniaga kecil bumiputera sebelum mewajibkan pengesahan halal untuk premis makanan.

Presidennya, Jawahar Ali Taib Khan berkata pihak berkuasa perlu memahami cabaran yang dihadapi peniaga termasuk dari sudut kewangan kerana permohonan mendapatkan pengesahan halal dan pematuhannya melibatkan kos yang tinggi.

Kata Jawahar aspek kesedaran dan galakan kepada pemegang taruh perlu menjadi keutamaan berbanding meletakkan kewajipan mandatori yang dikhuatiri menjadi masalah kepada pengusaha restoran yang tidak mempunyai modal yang besar.

"Cadangan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) untuk mewajibkan sijil halal kepada semua restoran yang tidak menyajikan daging babi dan alkohol amatlah dialu-alukan.

"Namun, apa yang lebih penting ialah cadangan tersebut memerlukan kajian yang lebih mendalam dan menyeluruh.

"Umum mengetahui, hampir keseluruhan restoran Melayu di Malaysia menyajikan makanan halal tetapi majoriti daripada mereka belum memiliki sijil halal," katanya pada kenyataan media.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS