Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

PULASAN | Pertama sekali mari kita ucapkan kesyukuran yang sebanyak mungkin kerana masih direzekikan hidup dengan penuh aman dan damai di negara ini. Ketika sesetengah orang menganggap semuanya cacamarba, ayuhlah kita sanggah sangkaan silap itu.

Mari kita yakinkan seluruh umat Melayu bahawa kita sedang hidup dengan penuh bahagia dan sentosa di sebalik apa saja tohmahan yang dilemparkan.

Kedua, mari kita ajarkan kepada Pemuda Umno Malaysia supaya selalu berterima kasih kepada DAP. Pemuda Umno Malaysia - atau lebih tepat, ketuanya Dr Akmal Saleh - banyak terhutang budi kepada parti itu sejak dia mengepalai sayap Umno berkenaan.

Bayangkan kalau DAP tidak ada dalam dunia politik sekarang. Atau mungkin saja boleh dibayangkan kalau tiada watak-watak yang mudah melatah seperti Teresa Kok atau yang lain-lain.

Sudah tentu termenung juga Akmal. Sebagai seorang exco di negeri seperti Melaka, apa sangatlah yang dapat dilakukan oleh Adun Merlimau itu untuk diingat-ingat orang akan namanya.

Malah pada keadaan tertentu orang lebih teringat kepada Adun Duyong, Mohd Noor Helmy Abdul Halem, berbanding Akmal. Mohd Noor kelihatan lebih organik dalam aksi politiknya berbanding Akmal.

Ada kemungkinan faktor usia pun memainkan peranan. Benar, mungkin dari segi angka, mereka hanya dibezakan oleh tujuh tahun. Namun tujuh tahun dalam sesetengah aspek boleh membawa banyak perbezaan.

Atau gambarkan begini: apabila Akmal lahir, Mohd Noor memulakan langkahnya memasuki alam persekolahan.

Baru mahu beri pertimbangan

Cuma bintang Akmal lebih bergemerlapan dari konteks kepimpinan. Dia seorang Adun dan seorang exco Melaka. Namun dia ditakdirkan mengepalai Pemuda Umno Malaysia.

Dia memerlukan sesuatu untuk selalu diingati oleh semua rakyat negara ini bahawa dia "ada" dan menjadi ketua. Sesetengah pemimpin DAP secara sukarela membantu Akmal agar keberadaannya terus diingati.

Dan keadaan itu tentulah ada harganya. Antara harga yang dibayar oleh Pemuda Umno ialah, entah berapa ramai orang tahu bahawa pergerakan itu bukanlah ada hanya Akmal.

Di bawah Akmal ada naib ketuanya, setiausahanya, ahli jawatankuasanya. Entah berapa ramai yang boleh menyebutkan nama-nama pemimpin Pemuda Umno Malaysia selain Akmal. Kasihan jualah adanya pada nasib mereka.

Ketiga, mari kita tarik nafas dalam-dalam untuk sejenak, bertenang lalu hembuskan nafas keluar dengan puas-puas. Geger tentang kewajiban kedai makan tidak menyajikan hidangan babi dan alkohol mendapatkan sijil halal itu letaknya di mana?

Setakat ini kenyataan dibuat Menteri di Jabatan Perdana Menteri Mohd Na'im Mokhtar bersifat sangat longgar. Dia hanya menyebut bahawa kerajaan sedia memberi pertimbangan untuk mewajibkan sijil halal.

Dia juga menyebut bahawa untuk melaksanakan peraturan itu, ada penambahbaikan akta sedia ada mesti dibuat, atau - lebih jauh daripada itu - ada akta lain perlu digubal.

Reaksi yang diberikan oleh kebanyakan orang ialah, seolah-olah nak mengkaji, meneliti, meminda atau menggubal akta itu semudah membuat sambal belacan!

Dan sekali lagi diingatkan - DAP berjaya memainkan peranannya melontar umpan untuk disambut dengan cemerlang oleh orang seperti Akmal. Tidak ketinggalan, Pemuda Amanah - dan Amanah sendiri - juga sedikit cergas bereaksi.

Barangkali mereka baru terjaga dari tidur lena yang panjang semasa ada banyak isu lain yang lebih penting dan mendesak. Atau mungkin juga mereka berasa irama yang didendangkan oleh DAP dan Pemuda Umno memang terlalu menggoda untuk diabaikan begitu saja.

Maka menarilah mereka dengan penuh perasaan.

Dalam keadaan begitu, sesiapa saja yang cuba meredakan keadaan atau mahu memberi pandangan alternatif akan dipandang hina. Malah pihak itu akan dianggap sebagai musuh agama.

Padahal bagi hati yang jernih, kekeliruan orang seperti Teresa Kok dan pihak yang sehaluan dengannya adalah peluang yang cerah untuk menjelaskan apakah itu halal dan haram pada neraca Islam.

Ia juga ruang dakwah yang teduh untuk memberi pencerahan bahawa perakuan halal daripada pihak berkuasa - yang jerih prosesnya itu - membawa nilai tambah yang lumayan.

Cari reaksi bangsa lain

Di sebalik hu-ha-hu-ha itu juga, entah berapa ramai yang benar-benar tahu bagaimana proses mendapatkan pengiktirafan halal oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

Berdasarkan hujah-hujah yang dikemukakan, ada kemungkinan besar mereka menganggap proses itu tidak lebih daripada sekadar memohon salinan sijil kelahiran di pejabat Jabatan Pendaftaran Negara atau mendapatkan cap dan tanda tangan pesuruhjaya sumpah.

Faktor kewangan yang terkekang, persediaan rantaian bekalan bahan dan pematuhan prosedur langsung tidak diambil kira. Dan kita terlalu malas untuk berfikir dan bertanya: mengapa secara keseluruhan syarikat bukan Islam dan bukan bumiputera lebih banyak memiliki sijil pengesahan halal berbanding syarikat milik Muslim.

Jika kamu mempunyai sedikit masa, cubalah intai atau cari pandangan golongan Cina atau India Muslim. Apakah mereka melatah seperti kebanyakan orang yang mendabik dada sebagai pejuang Melayu dan Islam, atau memilih cara berhemah?

Cuma asingkan sedikit penilaian kamu itu daripada sesetengah Cina atau India Muslim yang cuba menjadi lebih Melayu berbanding Melayu sebenar.

Di sebalik kesungguhan sesetengah orang yang mahu semua kedai mempunyai sijil halal, dapat dihidu juga sesekali bahawa ada nawaitu yang tersorok di sebalik niat tersebut.

Sedikit sebanyak dapat dikesan bahawa ia adalah langkah berhelah untuk melampiaskan dendam ke atas peniaga yang gagal diboikot dengan slogan tertentu suatu ketika dulu.

Pandangan diberi Persatuan Pengusaha Restoran Muslim Malaysia (Presma) semalam adalah lebih jelas dan rasional. Tetapi kamu sebagai bangsa yang percaya bahawa segala tamadun dunia bermula di Gunung Jerai akan melihat Presma sebagai tidak cukup Islami.

Sama seperti kamu percaya bahawa Gunung Jerai adalah tapak tamadun termoden dunia silam, menganggap Melayu yang banyak bercakap ini sebagai bangsa paling mulia adalah isyarat bahawa kita ini sebenarnya mengalami penyakit rendah diri yang maha kompleks.

Sebuah bangsa yang berjiwa besar dan bermaruah tidak perlukan kisah dongeng untuk mendapatkan penghormatan. Sama juga dengan agama. Islam sebagai agama yang benar tidak memerlukan pembohongan, helah, keangkuhan dan penindasan untuk dilihat benar.

Tetapi kita selalu memilih untuk mencengkam itu dan ini dengan peraturan yang tidak perlu. Ada jalan yang lebih mudah dan ramah, kita memilih untuk berseteru. Ada laluan yang waras, kita cenderung memilih untuk mereng.

Mujur ada orang politik semacam Teresa Kok dan Akmal. Dapatlah orang ramai tahu lagi faham benar bahawa: menjadi satu kerugian yang sangat besar untuk kita duduk dalam sebuah negara yang aman damai, yang memilih perbincangan sebagai jalan mencari penyelesaian.

Saya ulang: menjadi satu kerugian yang amat besar untuk kita duduk dalam sebuah negara yang aman damai, yang memilih perbincangan sebagai jalan mencari penyelesaian.


AL-ABROR MOHD YUSUF ialah wartawan Malaysiakini yang susah menemukan restoran atau kedai Melayu yang memiliki cap pengesahan halal.

Tulisan ini adalah pandangan peribadi dan tidak mencerminkan pendirian Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS