Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
PN pertaruh Coach Haizan di Mahkota
Diterbitkan:  Sep 10, 2024 9:56 PM
Dikemaskini: Sep 11, 2024 2:53 AM
1

PN mempertaruhkan Ahli Jawatankuasa Bersatu Bahagian Kluang Mohamad Haizan Jaafar, 58 sebagai calon Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota.

Ketua pembangkang Hamzah Zainuddin mengumumkan bekas pemain bola sepak semi pro Johor yang juga jurulatih itu pada majlis di Kluang malam ini.

"Nick name kepada calon kita Coach Haizan," katanya yang juga Setiausaha Agung PN bersambut sorakan hadirin.

Ketua PAS Johor Abdullah Husin menggambarkan Haizan sebagai seorang yang dikenali ramai dan disokong oleh semua kaum.

Dua hari lalu, Ketua Pemuda Umno Kluang Syed Hussien Syed Abdullah dinamakan sebagai calon BN pada pilihan raya kecil Mahkota yang akan datang.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan hari pengundian pada 28 September manakala tarikh penamaan calon dan pengundian awal masing-masing adalah pada 14 dan 24 September.

Pilihan raya kecil ini diadakan susulan kematian penyandang kerusi, Allahyarhamah Sharifah Azizah Syed Zain, 63, pada 2 Ogos lalu.

Pada pilihan raya Johor 2022, Sharifah menang majoriti selesa 5,166 undi berbanding calon PH Muhammad Taqiuddin Cheman.

Allahyarhamah meraih 16,611 undi berbanding jumlah undi Taqiuddin sebanyak 11,445 manakala calon PN Mohamad Nor Lingan berada di tempat ketiga dengan 7,614 undi (21 peratus daripada jumlah keseluruhan undi).


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
1
ADS