Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita
Pegawai imigresen tak lari siasatan SPRM, cuma tak sihat - peguam
Diterbitkan:  Sep 10, 2024 5:42 PM
Dikemaskini: 10:04 AM

Seorang pegawai imigresen menafikan dakwaan dia melarikan diri daripada siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung sindiket yang didakwa memudahkan kemasukan pendatang asing secara haram ke Malaysia.

Peguam mewakili Roney Irwan Mohamad Nor berkata ketika anak guamnya itu diarahkan hadir di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 29 Ogos, dia "terlalu lemah dan sukar bernafas untuk menjalankan urusan pada hari tersebut".

Firma guaman Shaharudin Ali & Co menafikan dakwaan Roney melarikan diri, menjelaskan pemeriksaan oleh pakar kardiologi mendapati dia mengalami "tiga sumbatan jantung yang serius", dan oleh itu tidak sihat secara perubatan untuk menyerah diri kepada SPRM.

"Sebagai peguam untuk Roney, kami ingin menekankan anak guam kami bersedia dan sanggup menyerah diri kepada SPRM atau hadir di mahkamah (dalam prosiding reman yang dijangkakan) pada tarikh dan masa yang dipilih oleh SPRM, tetapi anak guam kami memerlukan kira-kira tiga hari untuk berehat.

"Kami telah meminta SPRM membenarkan ini memandangkan keadaan kesihatan anak guam kami.

"Publisiti seputar kes dia mungkin akan memburukkan lagi keadaan jantungnya, lebih-lebih lagi apabila dia digambarkan oleh SPRM sebagai seorang buruan yang dikehendaki. Dia bukan (buruan).

"Dia mempunyai masalah kesihatan yang sebenar dan hanya memerlukan rehat serta telah memohon kebenaran untuk tampil secara sukarela di Ibu Pejabat SPRM atau di mahkamah Jalan Duta (Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur), mengikut kes yang berkaitan.

"Kami telah mengeluarkan surat kepada SPRM, menjelaskan secara terperinci keadaan di atas dan kami sedang menunggu maklum balas," kata rakan kongsi firma itu, Shaharudin Ali, pada satu kenyataan media yang dikeluarkan petang ini.

Minggu lalu, media melaporkan Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki berkata pihaknya sedang mengesan Roney, yang dipercayai oleh badan pencegah rasuah itu sebagai dalang sindiket di KLIA.

Azam berkata lelaki berusia 49 tahun itu dikehendaki untuk membantu siasatan di bawah Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.

SPRM melakukan beberapa tangkapan seperti di Pulau Pinang dan Kelantan yang menjadi sebahagian operasi besar-besaran di seluruh negara.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS