Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
BlackRock: Pemuda Bersatu mohon campur tangan Agong

Armada Bersatu memohon campur tangan Yang di-Pertuan Agong untuk membatalkan atau menangguhkan penswastaan Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB).

Ketuanya Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal berkata ia bagi memastikan beberapa perkara berkait aspek keselamatan diperinci terlebih dulu.

"Armada Bersatu juga ingin dengan rendah diri menyembah takzim memohon ke bawah duli yang maha mulia seri paduka baginda Yang di-Pertuan Agong serta Majlis Raja-Raja untuk membatalkan atau menangguhkan urus niaga penswastaan MAHB sehinggalah perkara-perkara berikut dilaksanakan sepenuhnya oleh pihak-pihak yang tiada berkepentingan.

"Audit tata kelola keselamatan pintu keluar masuk negara jika pengurusan lapangan terbang kita dimiliki pegangannya sebanyak 30 peratus oleh pihak asing dari luar negara.

"Ini kerana urus niaga penswastaan MAHB kepada GIP-BlackRock ini akan membolehkan mereka mempunyai pegangan dan campur tangan dalam pengurusan yang menguasai hampir 40 buah lapangan terbang negara termasuk lapangan terbang yang diguna pakai oleh Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM)," katanya pada sidang media di Kuala Lumpur, hari ini.

Wan Ahmad Fayhsal turut meminta audit kawal selia korporat dilakukan terhadap proses tata kelola pemilihan syarikat Global Infrastructure Partners (GIP) dan Abu Dhabi Investment Authority(ADIA) untuk memegang saham di MAHB.

"Audit kawal selia korporat ke atas peranan yang bakal dimainkan oleh syarikat asing terhadap strategi dan pengurusan MAHB di masa hadapan," katanya lagi.

Pada 21 Jun lalu, Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengingatkan semua pihak khususnya pembangkang supaya tidak menjadikan isu penyertaan syarikat BlackRock dalam penstrukturan semula kepentingan Malaysia Airport Holding Bhd (MAHB) sebagai ‘wayang politik’.

Dia berkata mana-mana pihak berhak untuk tidak bersetuju dengan kerajaan namun pada masa sama tidak boleh menafikan usaha kerajaan di dalam menyuarakan isu di Gaza.

“Jangan guna isu ini (BlackRock), kerana isu ini (serangan di Gaza) seharusnya menyatukan kita... siapa yang izinkan syarikat Israel beroperasi di sini dulu," katanya ketika ditemui selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Tun Abdul Aziz di Petaling Jaya.

Mengulas lanjut, Wan Ahmad Fayhsal berkata audit itu penting bagi memastikan tidak ada campur tangan Kementerian Pengangkutan dalam urus niaga dan operasi MAHB.

Katanya ini memandangkan satu-satunya badan kawal selia ekonomi penerbangan iaitu Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Mavcom) bakal digabungkan dengan Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) akan berada di bawah kuasa mutlak Menteri Pengakutan.

"Armada Bersatu menyeru supaya institusi dana milik orang Melayu dan bumiputera iaitu Permodalan Nasional Berhad (PNB) dan institusi dana pencen milik penjawat awam Kumpulan Wang Persaraan Diperbadankan (KWAP) untuk tidak menjual saham mereka dalam MAHB kerana ianya merugikan kerana harga jualan saham hasil penswastaan MAHB amat rendah.

"Analisis daripada pakar-pakar menunjukkan nilai saham MAHB adalah melebihi RM 16 bagi satu unit saham, dan sekiranya dijual pada paras yang rendah iaitu RM 11, orang Melayu dan penjawat awam akan berdepan kerugian berbiliion ringgit.

"Ini satu bentuk pengkhianatan bukan saja kepada orang Melayu, bumiputera malah kepada rakyat Malaysia keseluruhannya," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS