Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Presma: Cadangan wajibkan sijil halal perlu kajian mendalam
Diterbitkan:  Sep 10, 2024 4:09 PM
Dikemaskini: 8:29 AM

Persatuan Pengusaha Restoran Muslim Malaysia (Presma) meminta kerajaan mengadakan sesi libat urus terutama bersama peniaga kecil bumiputera sebelum mewajibkan pengesahan halal untuk premis makanan.

Presidennya, Jawahar Ali Taib Khan, berkata pihak berkuasa perlu memahami cabaran yang dihadapi peniaga termasuk dari sudut kewangan kerana permohonan mendapatkan pengesahan halal dan pematuhannya melibatkan kos yang tinggi.

Kata Jawahar aspek kesedaran dan galakan kepada pemegang taruh perlu menjadi keutamaan berbanding meletakkan kewajipan mandatori yang dikhuatiri menjadi masalah kepada pengusaha restoran yang tidak mempunyai modal yang besar.

"Cadangan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) untuk mewajibkan sijil halal kepada semua restoran yang tidak menyajikan daging babi dan alkohol amatlah dialu-alukan.

"Namun, apa yang lebih penting ialah cadangan tersebut memerlukan kajian yang lebih mendalam dan menyeluruh.

"Umum mengetahui, hampir keseluruhan restoran Melayu di Malaysia menyajikan makanan halal tetapi majoriti daripada mereka belum memiliki sijil halal," katanya dalam kenyataan media hari ini.

Usah menangguk di air keruh

Tambah Jawahar proses mendapatkan sijil perakuan halal melibatkan proses yang sangat ketat.

Sebagai peniaga atau usahawan kecil, katanya, golongan terbabit mempunyai sumber kewangan yang terhad untuk mendapatkan kelulusan status halal.

Minggu lalu Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Mohd Na’im Mokhtar, berkata kerajaan sedia memberi pertimbangan untuk mewajibkan semua restoran yang tidak menyajikan daging babi dan alkohol memiliki sijil halal Jakim.

Bagaimanapun Mohd Na'im menegaskan, proses itu memerlukan masa yang lebih panjang kerana melibatkan aspek perundangan termasuk meminda akta sedia ada atau menggubal akta baru.

Ia bertukar menjadi panas apabila ada ahli politik yang memberikan ulasan, sama ada menyambutnya secara negatif atau positif.

Jawahar Ali Taib Khan

Menurut Jawahar, Presma yakin tiada pengusaha restoran yang menyediakan makanan halal dengan sengaja enggan memohon sijil Jakim itu kerana sedar ia memberi nilai tambah mereka dan pada masa sama meyakinkan pelanggan.

"Pertimbangan melaksanakan sesuatu dasar yang inklusif perlulah mengambil kira persediaan ekosistem yang tidak membebankan para peniaga yang mengendalikan perniagaan dalam skala yang kecil agar tiada yang terpinggir ketika kerajaan memartabatkan industri halal di Malaysia," katanya.

Sementara itu, Jawahar juga meminta semua pihak supaya menghentikan polemik isu pensijilan halal, apatah lagi apabila ia dikaitkan dengan sentimen bangsa dan agama.

"Presma berharap tiada pihak yang cuba untuk menangguk di air yang keruh dengan mengambil kesempatan mempolitikkan isu ini untuk melaga-lagakan rakyat melalui permainan sentimen bangsa dan agama.

"Perbincangan mendalam mengenai isu ini boleh kita lakukan dengan berlapang dada menerima pelbagai perspektif tanpa sebarang bentuk provokasi melampau," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS