Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Lebih 38,000 penduduk Pahang akan dapat manfaat projek tebatan banjir'

Projek tebatan banjir Lembah Bertam, dekat Cameron Highlands dan Sungai Belat, Kuantan, Pahang dapat meminimumkan kesan banjir kepada kira-kira 38,000 penduduk.

Dua projek itu adalah antara yang diserahkan Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (Petra) kepada kerajaan Pahang, hari ini.

Satu lagi projek adalah kerja mencegah hakisan di Pantai Sepat, Kuantan.

Majlis menyerahkan projek itu disaksikan Timbalan Menteri Petra, Akmal Nasrullah Nasir dan Exco Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Pahang, Ir Razali Kassim.

Akmal dalam sidang media selepas majlis itu berkata, kos keseluruhan bagi tiga projek berkenaan berjumlah RM155.484 juta.

Katanya, selain tiga projek itu, kerajaan Persekutuan juga sedang melaksanakan 25 lagi projek di Pahang.

"Daripada jumlah itu, sebanyak 13 adalah projek sambungan manakala 12 lagi adalah projek baharu.

"Nilai keseluruhan projek ini dianggarkan RM4.1 bilion dan ada antaranya termasuk dalam Rolling Plan 4 tahun ini," katanya.

Sementara itu, ketika berucap pada majlis sama, Akmal merakamkan ucapan terima kasih kepada Menteri Besar Pahang, Wan Rosdy Wan Ismail kerana mengambil kira pandangan semua pihak, terutama rakan dalam Kerajaan Perpaduan di Pahang.

Katanya, kerajaan Pahang juga memberi kerjasama baik dan menyediakan ruang kepada rakan daripada PH dalam struktur pentadbiran negeri.

"Kita harap kerjasama ini dapat diteruskan dan segala sistem penyampaian (maklumat) mengenai pelbagai inisiatif disediakan kerajaan Madani dapat disampaikan kepada rakyat dengan lebih berkesan," katanya.

PH Pahang pada 28 Ogos lalu dilaporkan berkata, lebih banyak ruang perlu diberikan kepada pendukung parti itu dalam struktur kerajaan perpaduan di Pahang demi membentuk keutuhan kerjasama menghadapi PRU akan datang.

Pengerusi PH Pahang, Fuziah Salleh, berkata gabungan itu wajar diberi pengiktirafan selari dengan perjanjian persefahaman penubuhan kerajaan perpaduan di Pahang.

Kita (PH) akan terus mendukung persefahaman bersama yang ditandatangani dan akan terus memperkukuhkan kerajaan perpaduan di Pahang.

"Sesungguhnya pembentukan kerajaan Pahang hari ini adalah hasil sumbangan kerusi dimenangi PH dalam PRU ke-15," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS