Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Allahyarham Muhamad cadang ke Makkah 29 Sept
Diterbitkan:  Sep 10, 2024 1:40 PM
Dikemaskini: 5:40 AM

Bekas senator, Muhamad Mustafa, meninggal dunia di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian kira-kira jam 11.20 malam tadi dipercayai akibat komplikasi jantung.

Anak allahyarham, Mahabbatamminni Muhamad, 30, berkata bapanya - yang mengalami masalah jantung sejak dua tahun lalu - demam dan dirawat di hospital berkenaan namun kesihatannya semakin merosot minggu lepas.

"Sebelum ini beliau kata nak 'balik kampung', hendak 'jumpa Rasulullah' sebab sudah lama tidak ke sana (Makkah).

"Beliau sudah beli tiket untuk menunaikan umrah dan sepatutnya 29 Sept ini berangkat ke Makkah," katanya ketika ditemui Bernama di Kota Bharu hari ini.

Muhammad, 66, dilantik sebagai ahli Dewan Negara dari 2017 hingga 2020.

Dia juga pernah menjadi Ahli Parlimen Ketereh pada 1999 hingga 2004, dan Adun Demit (2008-2013).

Sementara itu, jenazah Muhammad selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Raudhatul Jannah, Kampung Huda, Kubang Kerian kira-kira jam 10.30 pagi tadi.

Allahyarham dikebumikan bersebelahan dengan pusara isterinya Allahyarham Azizah Ishak yang meninggal dunia pada 2022.

Sebelum itu, jenazahnya disembahyangkan Masjid Al-Huda dengan diimamkan Menteri Besar Kelantan Mohd Nassuruddin Daud kira-kira jam 10 pagi.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS