Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Abang Bas' menangis selepas pertuduhan dibacakan
Diterbitkan:  Sep 10, 2024 12:06 PM
Dikemaskini: 4:42 AM

Seorang pemandu bas menangis dalam kandang tertuduh selepas pertuduhan ke atasnya dibacakan di depan hakim di Mahkamah Sesyen Muar, Johor pagi ini.

Lelaki terbabit - yang dikenali sebagai Abang Bas - mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan yang mungkin akan menyebabkan dia dipenjara sehingga 20 tahun atau dirotan jika disabitkan kesalahan.

Pertuduhan tersebut dibacakan jurubahasa di hadapan hakim Sayani Mohd Nor, lapor Awani hari ini.

Sebelum ini media melaporkan Abang Bas terbabit ditahan reman selepas didapati memuat naik sejumlah hantaran melibatkan kanak-kanak yang dibawanya dengan bas.

Antara lain lelaki berusia 24 tahun itu menggelarkan mereka sebagai crush (individu yang diminati dalam diam) sehingga mengundang rasa tidak senang ramai orang.

Melalui pertuduhan pertama, lelaki terbabit didakwa melakukan amang seksual fizikal dengan mencium pipi kanak-kanak perempuan yang juga anak saudaranya.

Kanak-kanak terbabit - yang berusia empat tahun - diperlakukan begitu antara jam 5 petang hingga 6 petang di dalam sebuah bas sekolah di Simpang Renggam, Kluang pada April sehingga Sept 2024.

Dia didakwa mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017. Jika disabitkan bersalah dia boleh boleh dihukum mengikut seksyen 14 akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan boleh dihukum sebat.

Dibenar diikat jamin

Untuk pertuduhan kedua, lelaki terbabit didakwa memerhati kanak-kanak perempuan berusia sembilan tahun secara berulang kali bagi maksud seksual.

Kejadian itu didakwa berlaku di dalam bas sekolah dan di lokasi sama, antara jam 5 petang hingga 6 petang pada bulan ini.

Dia didakwa melakukan kesalahan amang seksual bukan fizikal mengikut Seksyen 15(a)(iii) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 15 akta sama.

Jika disabit kesalahan, dia boleh dikenakan hukuman penjara tidak lebih 10 tahun atau denda tidak melebihi RM20,000 atau kedua-duanya.

Pendakwaan ke atas lelaki terbabit dikendalikan Pengarah Pendakwaan Johor, Abdul Ghafar Ab Latif, manakala Umar Zulkarnain bertindak sebagai peguam bela.

Sementara itu BH Online melaporkan Sayani membenarkan lelaki terbabit diikat jamin RM30,000 selepas hakim mendengar hujah kedua-dua pihak.

Mahkamah juga mengarahkan lelaki itu melapor diri di balai polis berhampiran sebulan sekali, selain tidak mengganggu atau berkomunikasi dengan mangsa ataupun saksi pendakwaan sepanjang prosiding berlangsung.

Kes disebut semula pada 10 Oktober ini untuk serahan dokumen.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS