Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Penulis blog Raja Petra Kamarudin meninggal dunia
Diterbitkan:  Sep 10, 2024 8:33 AM
Dikemaskini: 4:12 AM

Penulis blog Malaysia Today, Raja Petra Kamarudin meninggal dunia di Manchester, UK pada usia 73 tahun.

Raja Petra meninggal dunia pada 11.26 malam waktu UK pada hari Isnin 9 Sept.

Perkara itu disahkan oleh adiknya, Raja Idris kepada portal berita FMT.

Raja Petra, yang lebih dikenali sebagai RPK, dua kali ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri pada 2001 dan 2008.

Raja Petra pernah menjadi sekutu Perdana Menteri Anwar Ibrahim dalam Parti Keadillan Nasional, sebelum mengubah pendiriannya berikutan penahanan kali kedua.

Dilahirkan pada 27 Sept 1950 di Surrey, England, dia mengendalikan laman web Malaysia Today, yang menerbitkan pandangannya yang kadangkala kontroversial mengenai politik Malaysia.

Penahanan pertama Raja Petra ialah pada 11 April 2001, apabila dia dan sepuluh aktivis pembangkang lain ditahan di bawah ISA kerana didakwa merancang untuk menggulingkan perdana menteri ketika itu Dr Mahathir Mohamad. Dia dibebaskan 52 hari kemudian.

Penahanan kedua pada 12 Sept 2008, dan dia dibebaskan daripada tahanan dua bulan kemudian pada 7 Nov 2008.

Selepas dibebaskan daripada tahanan kedua, dia berpindah ke UK.

Merupakan bekas pelajar Kolej Melayu Kuala Kangsar dan Victoria Institution, allahyarham adalah ahli keluarga diraja Selangor melalui nenek sebelah bapanya Tengku Badariah yang merupakan adik kepada Almarhum Sultan Hisamuddin Alam Shah.

Raja Petra pada 2008 mencetuskan kontroversi apabila mengaitkan Rosmah Mansor, isteri Najib Razak yang ketika itu timbalan perdana menteri, dengan kes pembunuhan warganegara Mongolia Altantuya Shaariibuu.

Raja Petra  bagaimanapun membuat pusingan U tiga tahun selepas itu apabila mendakwa maklumat itu disalurkan oleh pihak yang rapat dengan tokoh pembangkang ketika itu Anwar Ibrahim.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS