Setiausaha Politik Perdana Menteri, Azman Abidin berpandangan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) tidak perlu mewajibkan sijil halal kepada semua restoran yang tidak menyajikan daging babi dan alkohol.
Walaupun mengalu-alukan cadangan itu, Azman berkata permohonan sijil halal adalah proses yang sukar.
"Saya mengalu-alukan cadangan menteri (Mohd Na’im Mokhtar). Tetapi, ia tidak perlu diwajibkan.
"Bukan senang nak mohon sijil halal. Ia melibatkan yuran yang agak tinggi serta syarat yang sangat ketat.
"Ini yang menyebabkan ramai pengusaha restoran dan syarikat makanan termasuk milik orang Melayu tidak minat untuk mendapatkan sijil halal walaupun mereka masih menjual makanan halal," katanya kepada Malaysiakini.
Katanya lagi, Jakim perlu mengkaji dengan lebih dalam sebelum mempertimbangkannya.
Isu ini diperkatakan selepas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Mohd Na’im Mokhtar memaklumkan Jakim sedang mempertimbangkan cadangan itu.
Namun ia dibantah Ali Parlimen Seputeh Teresa Kok yang menyifatkan ia berisiko menambah beban kepada perniagaan termasuk melibatkan ribuan pengusaha restoran Melayu.
Bantahan itu kemudian mengundang kritikan beberapa pihak, antaranya Ketua Pemuda Umno Akmal Salleh dan Setiausaha Agung Amanah Faiz Fadzil.
Teresa kemudian menjelaskan gesaannya agar ia dikaji terlebih dahulu tidak bermaksud dia tidak menghormati Islam atau mempersoalkan keperluan untuk pensijilan halal.
Beberapa laporan juga dibuat terhadap Teresa dan dia akan memberi keterangan kepada polis esok.
Sementara itu, Azman berkata dia sebelum ini pernah mengusahakan restoran dan sangat tahu berkenaan isu pensijilan halal.
"Kita perlu faham, sijil halal dengan makanan halal dua perkara berbeza. Sebagai contoh, hampir 100 peratus restoran Melayu di negara ini menyajikan makanan halal tapi lebih 90 peratus tidak memiliki sijil halal.
"Saya sebagai bekas pengusaha restoran tahu lebih mendalam mengenai isu-isu ini. Maka, saya minta pembangkang dan ahli politik perlu henti mempolitikkan isu ini.
"Saya melihat ada pihak cuba mempolitik isu ini dengan mengaitkan dengan agama dan bangsa.
“Sebenarnya, menteri (Mohd Na’im) melontar satu cadangan dan MP Seputeh (Teresa) (hanya) memberi pandangannya,” katanya lagi.