Perdana Menteri Anwar Ibrahim mahu setiap projek dalam Pelan Induk Kerjasama Awam-Swasta (Pikas) 2030 menerapkan prinsip tatakelola yang lebih tegas.
Anwar berkata demikian ketika berucap di acara peluncuran Pikas 2030 di Cyberjaya, hari ini.
Pikas 2030 merupakan kesinambungan dasar dan garis panduan kerjasama awam-swasta sedia ada dengan nilai tambah dan hala tuju yang lebih jelas dan terangkum.
Dalam ucapannya, Anwar antara lain berkata syarikat kerjasama awam-swasta tidak boleh mengutamakan keuntungan sahaja, sebaliknya perlu mengambil kira tiga aspek keperluan keluarga - iaitu perumahan, pendidikan dan kesihatan - dalam kalangan pekerja.
“Tiga aspek ini ialah menitikberatkan soal kadar upah pekerja yang setimpal, kemudahan perumahan dan pendidikan untuk anak-anak mereka mengikut keupayaan syarikat masing-masing.
“Pengajaran yang saya nak sampaikan (ialah) bagaimana pelan kerjasama awam-swasta ini harus diteruskan dengan mengambil kira konsep ini.
“Jadi peranan Unit Kerjasama Awam-Swasta (UKAS) adalah untuk memastikan kepesatan kelulusan yang tidak terikat kerenah birokrasi berlebihan, tetapi tidak berganjak dengan prinsip utama tentang tatakelola dan mengelak dari sebarang kecurangan yang telah menjahanamkan sebahagian perubahan negara kita,” katanya.
Terdahulu, Unit Kerjasama Awam Swasta, Jabatan Perdana Menteri (UKAS, JPM) menganjurkan Majlis Peluncuran Pelan Induk Kerjasama Awam-Swasta 2030 sebagai inisiatif bersepadu untuk mengukuhkan tatakelola dan pengurusan projek yang dilaksanakan melalui pendekatan kerjasama awam-swasta sebagai usaha untuk mempercepatkan pertumbuhan ekonomi negara di samping menguruskan cabaran fiskal.
Pikas 2030 bertujuan menyediakan landskap Kerjasama Awam-Swasta (Public-Private Partnership, PPP) yang teguh dan mampan untuk memacu kesejahteraan negara.