Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Isu sijil halal: Polis rakam keterangan Teresa Kok esok
Diterbitkan:  Sep 9, 2024 11:29 AM
Dikemaskini: 9:57 AM

Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok diarahkan hadir ke Ibu Pejabat Polis Bukit Aman di Kuala Lumpur,  pada jam 10 pagi esok untuk siasatan berhubung isu pensijilan halal.

Ketua Polis Negara, Razarudin Husain, berkata keterangan setiausaha publisiti DAP itu akan dirakamkan oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Bukit Aman.

Razarudin Husain

“Siasatan adalah berhubung kenyataanya berhubung isu pensijilan halal yang dikatakan membebankan peniaga di Malaysia akan dilakukan mengikut prosedur 3R (Bangsa, agama dan Raja-raja), katanya dalam satu kenyataan ringkas, hari ini.

Razarudin turut mengesahkan, pihaknya akan memanggil beberapa pihak lain termasuk Jakim (Jabatan Kemajuan Islam Malaysia).

"Kita (polis) juga akan menentukan kemudian untuk memanggil saksi-saksi lain," katanya lagi.

Sementara itu, Kok dalam satu pesanan ringkas mengesahkan kepada Malaysiakini bahawa dia telah diarahkan ke Bukit Aman esok sebagai sebahagian daripada siasatan dan akan mengadakan sidang akhbar selepas itu.

"Ya. Saya akan adakan sidang akhbar pada 11 pagi. Saya akan mengeluarkan kenyataan akhbar," katanya.

Semalam, Razarudin memaklumkan pihaknya telah membuka kertas siasatan terhadap ahli Parlimen Seputeh itu bawah Seksyen 298 dan 505(b) Kanun Keseksaan.

Selain itu, katanya, pemimpin DAP tersebut juga disiasat mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia yang meliputi penyalahgunaan kemudahan rangkaian.

Razarudin berkata lima laporan polis telah dibuat terhadap Kok.

Sebelum ini, Kok membantah cadangan Jakim untuk mempertimbangkan mewajibkan pensijilan halal bagi restoran dan syarikat makanan yang tidak menghidangkan daging babi dan alkohol.

Ini, mencetuskan kecaman termasuk daripada Ketua Pemuda Umno Dr Muhammad Akmal Saleh.

Menyifatkan Kok sebagai 'nyonya tua', Akmal berkata Kok tidak sepatutnya mencampuri urusan agama Islam berkaitan pensijilan halal.

Dr Muhammad Akmal Saleh

“Kalau kamu tak tahu tentang agama kami, jangan cakap. Kamu diam lebih elok dan saya minta juga kepada kerajaan sediakan satu logo non (tak) halal, tampal dekat dahi nyonya tua ini,” tambahnya.

Bagaimanapun, bagi Pengerusi Majlis Ulama Umno Mohd Khairuddin Aman Razali, cadangan mewajibkan pensijilan halal adalah tidak sesuai untuk restoran dan syarikat makanan milik orang Islam.

Khairuddin menegaskan umat Islam sudah terikat dengan prinsip agama mengenai halal dan haram, kebersihan dan kesucian.

Teresa Kok bersama Anthony Loke

Sementara itu, dalam kenyataan media berasingan, Setiausaha Agung DAP Anthony Loke dilaporkan berkata biro undang-undang parti itu akan menemani Kok apabila dia disoal siasat oleh polis.

Tambahnya, kepimpinan DAP yakin ahli parlimen Seputeh itu tidak melanggar sebarang undang-undang dan hanya menjalankan tugas sebagai ahli parlimen ketika menyatakan pandangannya mengenai dasar kerajaan.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS