Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Akmal: Saya minta kerajaan sediakan logo non-halal, tampal pada dahi Teresa
Diterbitkan:  Sep 8, 2024 1:46 PM
Dikemaskini: 7:54 AM

Ketua Pemuda Umno, Dr Akmal Saleh menyelar Naib Pengerusi DAP, Teresa Kok kerana mempersoal cadangan mewajibkan restoran dan syarikat makanan yang tidak menyajikan daging babi dan alkohol mendapatkan pensijilan halal.

Menyifatkan ahli parlimen Seputeh itu sebagai 'nyonya tua', Akmal berkata Teresa tidak sepatutnya mencampuri urusan agama Islam berkaitan pensijilan halal.

“Pertama saya nak bagi tahu pada nyonya tua ini, sijil halal ini bukan sahaja arak dan babi, tapi sijil ini merangkumi bagaimana dia (peniaga) nak sediakan (makanan), bagaimana sumber (perniagaan) tu dapat.

“Jadi ini adalah aturan yang telah ditetapkan dan saya nak bagi tahu juga nyonya tua ini bahawa sijil halal ini dulu berbulan-bulan nak dapat. Hari ni kita dah dapat pendekkan kepada 23 hari saja dah boleh dapat sijil halal.

“Jadi apa masalah kamu dengan sijil halal ini?,” katanya dalam satu rakaman video yang dimuatnaik di TikTok.

Kelmarin, Teresa berkata cadangan itu berpotensi menambah beban kepada perniagaan termasuk melibatkan ribuan pengusaha restoran Melayu.

Ini susulan kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Mohd Na'im Mokhtar, Khamis lalu yang memaklumkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) sedang mengkaji cadangan itu.

Teresa berkata, langkah itu juga bertentangan dengan semangat kepelbagaian budaya selain mungkin menjadikan Malaysia sebagai bahan ejekan di luar negara.

Menurut ahli parlimen dari DAP itu, pensijilan halal sepatutnya bersifat sukarela dan membolehkan pengusaha membuat keputusan berdasarkan permintaan pasaran.

Pandangan Teresa bagaimanapun mendapat kecaman daripada pelbagai pihak termasuk pemimpin Bersatu dan Amanah yang meminta dia menarik balik kenyataan itu.

‘Diam lebih elok’

Mengulas lanjut, Akmal yang juga Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan Melaka turut menyangkal dakwaan Teresa bahawa langkah mewajibkan pensijilan halal sebagai memalukan negara.

Sebaliknya, dakwa Akmal, Teresa yang sebenarnya telah memalukan negara ini dengan tidak berhenti mengganggu-gugat keharmonian.

“Kalau kamu tak suka, dia tak melibatkan kamu pun dan yang sebenarnya yang memalukan negara ini adalah ada ahli parlimen seperti kamu wahai nyonya tua yang tak habis-habis mengganggu gugat keharmonian negara.

“Kalau kamu tak tahu tentang agama kami, jangan cakap. Kamu diam lebih elok dan saya minta juga kepada kerajaan sediakan satu logo non (tak) halal, tampal dekat dahi nyonya tua ini,” tambahnya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS