Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita
Sijil halal : Kenyataan Teresa tak bantu jernihkan keadaan - Anwar
Diterbitkan:  Sep 8, 2024 11:15 AM
Dikemaskini: 3:15 AM

Kenyataan Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok dalam isu pensijilan halal tidak mewakili pendirian PH, kata Perdana Menteri, Anwar Ibrahim.

Perdana Menteri berkata kenyataan Naib Presiden DAP itu hanya mencetuskan kontroversi yang tidak relevan kepada masyarakat di negara ini, lapor Berita Harian.

Anwar juga menasihati mana-mana pemimpin politik untuk mengemukakan cadangan atau kebimbangan mengenai sesuatu perkara dalam mesyuarat supaya perkara itu boleh diteliti secara menyeluruh.

"Tak payah jadi begini kerana ini menimbulkan kontroversi yang tidak relevan dalam masyarakat kita.

"Ada masalah... peraturan perlu supaya umat Islam tidak rasa was-was. Namun kalau dia (Teresa) rasakan peraturan itu tidak diperlukan di kawasan tertentu, bincanglah secara elok," katanya ketika merasmikan Kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Seremban (arah selatan) hari ini.

Kelmarin, Teresa berkata cadangan mewajibkan restoran dan syarikat makanan yang tidak menyajikan daging babi serta alkohol mendapatkan pensijilan halal berpotensi menambah beban kepada perniagaan termasuk melibatkan ribuan pengusaha restoran Melayu.

Ahli Parlimen kerajaan dari DAP itu berkata, langkah itu bertentangan dengan semangat kepelbagaian budaya selain mungkin menjadikan Malaysia sebagai bahan ejekan di luar negara.

Menurut Teresa pensijilan halal seharusnya bersifat sukarela dan membolehkan pengusaha membuat keputusan berdasarkan permintaan pasaran.

Ini susulan kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Mohd Na'im Mokhtar, Khamis lalu yang memaklumkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) sedang mengkaji cadangan untuk mewajibkan restoran dan syarikat makanan memiliki sijil halal.

Kenyataan Teresa bagaimanapun mendapat kecaman daripada pelbagai pihak termasuk pemimpin Umno, pembangkang dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) termasuk Dewan Perniagaan Melayu Malaysia.

Sementara itu, Anwar yang juga Pengerusi PH berkata, Teresa tidak sewajarnya mengeluarkan sebarang kenyataan yang disifatkan tidak membantu untuk menjernihkan keadaan.

"Kalau dia mahu mewakili beberapa pihak, tidak mengapa... tetapi tidak perlu (buat kenyataan sedemikian secara terbuka) kerana ia tidak membantu untuk menjernihkan keadaan.

"Kita kena jaga sentimen muslim dan bukan Islam. Cara dia (adalah) runding secara elok dahulu. Bukan tunjuk kehebatan masing-masing.

"Negara kita sudah dalam keadaan baik sekarang, politik sudah stabil, penghargaan dunia baik, ekonomi naik (justeru) perlu apa perkara ini nak merosakkan (keharmonian dan kesejahteraan negara)," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS