Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
KM baru perlu gabungan sifat akomodatif dan lantang, kata Chow
Diterbitkan:  Sep 7, 2024 12:49 PM
Dikemaskini: 5:53 AM

Buat kali pertama sejak mengumumkan pengundurannya dari jawatan ketua menteri, Chow Kon Yeow dilaporkan memberi bayangan ciri-ciri yang perlu ada buat penggantinya bagi mengepalai kerajaan Pulau Pinang.

Bagi Chow faktor yang penting perlu ada pada calon terbabit ialah gabungan antara pendekatan akomodatifnya dengan sikap lantang dan berterus terang ketua menteri terdahulu, Lim Guan Eng.

“Sebagai pembangkang, kita banyak menjerit. Tetapi jika anda sudah ada dalam kerajaan, tiba masanya untuk anda bertindak dan menyampaikan (perkhidmatan),” katanya dipetik The Straits Times yang berpangkalan di Singapura hari ini.

Bagaimanapun, Chow tidak mengulas mengenai siapa yang difikirkannya akan menggantikan dia sebagai ketua menteri sekali gus Pengerusi DAP Pulau Pinang.

Chow baru-baru ini mengumumkan untuk berundur dari jawatannya sebagai Pengerusi DAP Pulau Pinang dalam konvensyen parti tersebut pada 22 Sept ini.

Langkah itu sekali gus menandakan Pulau Pinang akan mendapat ketua menteri baru selepas penggal pentadbiran semasa berakhir iaitu selewat-lewatnya 2028.

Sesetengah media membuat spekulasi dengan memetik beberapa nama sebagai calon berpotensi termasuk Setiausaha Organisasi DAP Kebangsaan yang juga Menteri Sumber Manusia, Steven Sim, dan ahli Jawankuasa Eksekutif Pusat DAP merangkap Timbalan Menteri Kewangan, Lim Hui Ying.

Hui Ying merupakan adik perempuan kepada Pengerusi DAP Kebangsaan, Lim Guan Eng.

Kata Chow walaupun nanti tidak lagi mengetuai DAP Pulau Pinang, keadaan itu tidak akan menajadikannya seorang ketua menteri yang lemah atau pincang.

“Saya tidak fikir saya akan lemah. Saya akan terus memastikan jentera kerajaan (bekerja seperti seperti biasa),” katanya.

Perlu hadapi ‘gelombang hijau’

Pada masa sama Adun Padang Kota dan Ahli Parlimen Batu Kawan itu mengakui dia tidak mampu berbuat banyak jika ketua menteri baru atau DAP menyekatnya daripada meneruskan pelan pembangunan Pulau Pinang 2030 yang diasaskannya.

Melainkan ia berlaku, Chow berkata beliau bercadang untuk meneruskan rancangannya itu untuk Pulau Pinang.

Antara bidang yang diberi perhatian ialah perkhidmatan digital yang lebih baik dan meningkatkan Indeks Kebahagiaan di Pulau Pinang.

Seorang pemimpin akar umbi DAP Pulau Pinang yang tidak dinamakan pula berkata bahawa seseorang yang mempunyai pendekatan yang lebih agresif daripada Chow diperlukan untuk mendepani pembangkang.

"Chow seorang yang lemah lembut (yang) boleh diterima oleh semua.

“Tetapi berdepan dengan 'gelombang hijau', DAP memerlukan seorang 'polis jahat' yang boleh menjadi tokoh untuk menghadapinya," kata individu terbabit yang juga dipetik Straits Times.

[Baca laporan penuh]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS