Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Lebih separuh orang dewasa Terengganu alami obesiti
Diterbitkan:  Sep 7, 2024 12:05 PM
Dikemaskini: 4:05 AM

Sebanyak 51 peratus daripada golongan dewasa di Terengganu mengalami masalah obesiti atau berlebih berat badan.

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT) Dr Kasemani Embong berkata data itu diperolehi hasil daripada tinjauan kesihatan dan morbiditi kebangsaan (NHMS) yang dijalankan pada tahun lalu.

Katanya kadar obesiti di Terengganu juga didapati meningkat iaitu daripada 47.5 peratus pada 2015 menjadi 49 peratus pada 2019.

"Masalah obesiti atau lebih berat badan paling tinggi dalam kalangan individu berusia 25 hingga 50 tahun.

"Boleh dikatakan satu daripada dua orang dewasa di Terengganu berdepan masalah berkenaan.

"Situasi ini agak merisaukan kerana boleh membawa risiko penyakit tidak berjangkit seperti kencing manis dan darah tinggi yang turut mencatatkan peningkatan kes setiap tahun," katanya.

Kasemani berkata demikian selepas merasmikan sambutan Funwalk 10,000 Steps & Wellness Hub Open Day di Klinik Kesihatan Seberang Takir, Kuala Nerus hari ini.

Seramai 1,000 peserta termasuk warga JKNT dan komuniti setempat menyertai acara yang bertujuan membudayakan gaya hidup sihat melalui senaman serta pemakanan itu.

Dalam perkembangan lain, Kasemani berkata, setakat ini tiada jangkitan cacar monyet (mpox) di Terengganu.

Bagaimanapun, katanya, JKNT turut membuat persiapan dengan memberi taklimat kepada pegawai perubatan dan kakitangan di hospital serta klinik kesihatan mengenai ancaman jangkitan.

"Ekoran pengisytiharan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) bahawa mpox sebagai kecemasan kesihatan awam yang menjadi keutamaan antarabangsa, kami turut bersiap siaga dengan memberikan taklimat kepada petugas hospital bagi memastikan mereka tahu apa perlu dibuat sekiranya ada kes dilaporkan," katanya.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS