Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

PANDUANKINI | Awal minggu ini Majlis Perundingan Malaysia bagi Buddha, Kristian, Hindu, Sikh dan Taoisme (MCCBCHST) menyuarakan bantahan mereka susulan laporan bahawa pegawai agama Islam akan ditempatkan di semua jabatan dan kementerian kerajaan.

Kumpulan itu membangkitkan kebimbangan berhubung laporan akhbar dari Sabah bahawa pegawai Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) terbabit akan memastikan semua keputusan dibuat selari dengan prinsip Islam.

Rentetan itu, timbul polemik yang didakwa berpunca daripada salah faham terhadap fungsi dan peranan sebenar Jakim terutama melibatkan masyarakat bukan Islam.

Bagaimana Jakim ditubuhkan?
Persidangan Majlis Raja-Raja Melayu pada 1969 memutuskan ada keperluan mewujudkan satu badan bagi menggembleng usaha pembangunan dan kemajuan umat Islam di Malaysia, selaras dengan taraf Malaysia sebagai sebuah negara Islam.

Bertitik tolak daripada keputusan itu, satu urus setia bawah Majlis Kebangsaan Hal-Ehwal Ugama Islam Malaysia (MKI) ditubuhkan bagi memelihara kesucian akidah dan ajaran Islam.

Urus setia ini kemudiannya dikembangkan sebagai Bahagian Agama dan diletakkan bawah Jabatan Perdana Menteri. 

Ia seterusnya dinaikkan taraf sekali lagi menjadi Bahagian Hal Ehwal Islam (BAHEIS).

Pada 1 Jan 1997 BAHEIS dinaik taraf sebagai Jakim yang berada di bawah Jabatan Perdana Menteri. Pada awal penubuhannya Jakim mempunyai 14 bahagian sebelum berkembang kepada 19 dan kini mempunyai 26 bahagian melalui empat sektor sesuai dengan keperluannya seperti berikut:

  • Sektor Ketua Pengarah:
    Pejabat Ketua Pengarah
    Institut Latihan Islam Malaysia (Ilim)
    Bahagian Undang-Undang
    Darul Quran
    Sekretariat Majlis Halal Malaysia
    Institut Kemahiran Islam Malaysia Sarawak (Ikmas)
    Institut Pengajian Islam Dan Dakwah Sabah (Ipdas)
    Jakim Sabah
    Jakim Sarawak
    Unit Komunikasi Korporat
    Unit Integriti

  • Sektor Dasar
    Bahagian Dasar Kemajuan Islam
    Bahagian Penyelidikan
    Bahagian Penyelarasan Penguatkuasaan & Pendakwaan Syariah
    Bahagian Keurusetiaan & Hubungan Luar
    Bahagian Pengurusan Halal
    Bahagian Maqasid Syariah

  • Sektor Operasi
    Bahagian Dakwah
    Bahagian Keluarga, Sosial Dan Komuniti
    Bahagian Penerbitan
    Bahagian Penyiaran
    Bahagian Pendidikan

  • Sektor Pengurusan
    Bahagian Pengurusan Sumber Manusia
    Bahagian Kewangan
    Bahagian Pengurusan Maklumat
    Bahagian Khidmat Pengurusan

Bagaimana dengan struktur organisasi Jakim dan peruntukan kewangan?
Jakim diketuai seorang ketua pengarah. Ketika ini jawatan tersebut disandang oleh Hakimah Mohd Yusoff, dan dibantu tiga orang timbalan ketua pengarah - melibatkan dasar, operasi, dan pengurusan - sebagai perjawatan tertinggi agensi itu.

Selain itu, perjawatan dalam organisasi Jakim diikuti dengan pengarah kanan, penasihat undang-undang, pengarah bahagian dan pengarah negeri selain jawatan-jawatan pegawai dan kakitangan sokongan di peringkat bawahan.

Pada 2023, Jakim mempunyai sejumlah 1,469 kakitangan secara keseluruhan di seluruh negara dengan peruntukan bagi perbelanjaan mengurus untuk 2024 ialah sebanyak 1,147,796,000.

Apakah fungsi Jakim?
Sebagai sebuah agensi utama pengurusan hal ehwal Islam di peringkat persekutuan serta urus setia kepada Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia, Jakim melaksanakan tiga fungsi utama iaitu:

  • Penggubalan dan penyeragaman undang-undang syarak

  • Penyelarasan dan pembangunan pendidikan Islam

  • Penyelarasan pentadbiran Islam

Jakim akan berperanan sebagai agensi pusat dalam perancangan pengurusan hal ehwal Islam dan pembangunan ummah dengan fungsi-fungsi dan bertanggungjawab sebagai perancang yang menentukan pembangunan dan kemajuan hal ehwal Islam di negara ini.

Agensi ini juga merangka dasar bagi pembangunan hal ehwal Islam di Malaysia dan menjaga kesucian akidah dan ajaran Islam selain membantu menggubal dan menyeragam undang-undang dan peraturan yang diperlukan serta menilai dan menyelaras pelaksanaan undang-undang dan pentadbiran yang sedia ada dari masa ke semasa dalam usaha untuk menyelesaikan masalah-masalah umat Islam.

Jakim juga menjalankan program-program pembangunan ummah dan penghayatan Islam dalam pengurusan negara dan menyelaras mekanisma penguatkuasaan undang-undang serta peraturan-peraturan pentadbiran hal ehwal Islam di seluruh negara.

Selain itu, Jakim juga berperanan menilai program-program Islam yang dilaksanakan, bertindak sebagai pengumpul, penyebar dan pusat rujukan maklumat mengenai hal ehwal Islam.

Ia juga melaksanakan usaha-usaha pembangunan ummah melalui kerjasama sama ada di peringkat serantau atau antarabangsa.

Apakah Jakim berperanan dalam hal ehwal agama selain Islam?
Sudah tentu tidak. Ini kerana penubuhan dan fungsi Jakim sebagai badan menggembleng usaha pembangunan dan kemajuan umat Islam di Malaysia, selaras dengan taraf negara Malaysia sebagai sebuah negara Islam.

Jakim - dalam erti kata lain - sama sekali tidak mecampuri urusan keagamaan dan aktiviti penganut dan agama lain di negara ini.

Jakim juga bertanggungjawab memastikan tiada pihak yang menyentuh sensitiviti membabitkan agama dan umat Islam.

Adakah Jakim mempunyai bidang kuasa penguatkuasaan?
Tidak. Bagaimanapun Jakim mempunyai bahagian penyelarasan penguatkuasaan dan pendakwaan syariah yang berperanan untuk meningkat dan memperkemaskan lagi tugas-tugas berkaitan penguatkuasaan, penyiasatan dan pendakwaan yang dilaksanakan oleh negeri-negeri di Malaysia.

Bahagian ini bertindak sebagai penyelaras di antara Jakim dan jabatan agama Islam negeri-negeri.

Ia mempunyai tiga cawangan iaitu cawangan penyelarasan penguatkuasaan, cawangan penyelarasan pendakwaan, serta unit pentadbiran dan khidmat sokongan.

Adakah pegawai Jakim ditempatkan bertugas di kementerian, jabatan dan agensi persekutuan?
Ya, kewujudan jawatan dikenali sebagai Skim Perkhidmatan Kader Pegawai Hal Ehwal Islam (PHEI) Jakim di kementerian, jabatan dan agensi persekutuan adalah berdasarkan perjawatan yang diluluskan oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).

Penempatan tersebut adalah dibuat berdasarkan keperluan semasa di kementerian, jabatan dan agensi terbabit.

Penempatan pegawai Jakim itu bertitik-tolak selepas kerajaan memperkenalkan dasar penerapan nilai-nilai Islam dalam pentadbiran negara pada 1985.

Ia dilaksanakan sebagai salah satu langkah memenuhi aspirasi kerajaan menerapkan nilai-nilai murni dalam pentadbiran kerajaan sama ada di peringkat persekutuan ataupun di negeri-negeri.

Pada 1987 pula, kerajaan memperkenalkan etika kerja Islam bagi menerapkan amalan tadbir urus terbaik dalam kalangan penjawat awam.

Ia melibatkan amalan nilai-nilai murni agama seperti amanah, bertanggungjawab, ikhlas, dedikasi, tekun, berdisiplin, bekerjasama, tolong-menolong, berbudi mulia dan bersyukur, selain menerapkan konsep kerja sebagai satu ibadah.

Selaras dengan tujuan tersebut, PHEI Jakim mula ditempatkan di beberapa kementerian dan agensi persekutuan. Antaranya Kementerian Belia dan Sukan, Kementerian Dalam Negeri, Kementerian Kesihatan, Jabatan Pertanian Malaysia, Jabatan Perdana Menteri, Jabatan Penjara, dan Agensi Antidadah Kebangsaan.

PHEI Jakim menjalankan pelbagai fungsi perkhidmatan termasuk di sektor pengurusan, pentadbiran, pendidikan, penyelidikan, perubatan, pencegahan, penguatkuasaan, pembangunan, pemulihan, keselamatan, kawal selia, industri pertanian, dan ekonomi dan kewangan.

Apa objektif penempatan PHEI Jakim di agensi lain kerajaan?
Penempatan PHEI Jakim adalah selaras dengan pelaksanaan Dasar Penerapan Nilai-nilai Islam Dalam Perkhidmatan Awam (1985) yang bertujuan untuk melahirkan modal insan yang seimbang dari sdut kekuatan rohani dan jasmani.

Justeru, dasar dan objektif penempatan PHEI Jakim adalah bertujuan untuk melaksanakan program dan aktiviti yang bertujuan untuk mencapai perkara-perkara berikut:

i) Memantapkan kefahaman dan penghayatan terhadap amalan nilai-nilai murni dalam perkhidmatan bagi melahirkan anggota perkhidmatan awam yang kuat dari segi intelektual dan spritual, serta seimbang emosinya.

ii) Meningkatkan motivasi kerja penjawat awam berasaskan penerapan nilai-nilai murni bagi meningkatkan produktiviti organisasi ke arah mencapai tadbir urus terbaik (good governance).

iii) Memperkukuh penghayatan terhadap pendekatan Islam semasa yang dilaksanakan oleh kerajaan dalam penyampaian perkhidmatan.

iv) Meningkatkan kefahaman terhadap Islam bagi mengatasi pelbagai masalah Islamophobia dalam kalangan anggota perkhidmatan awam khususnya dan masyarakat umum, dan

v) Membendung sebarang aktiviti penyebaran fahaman-fahaman yang menyeleweng daripada akidah Islamiah seperti ajaran sesat, liberalisme, pluralisme, ekstremisme, Syiah dan fahaman-fahaman yang menyalahi pegangan Ahli Sunnah wal Jamaah.

Adakah penempatan baru PHEI Jakim masih dibuat?
Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil pada minggu lalu memaklumkan tiada sebarang penempatan baru melibatkan pegawai Jakim di jabatan-jabatan kerajaan.

Menurutnya, penempatan pegawai Jakim itu sebelum ini tidak pernah menyentuh soal dasar dalam sesuatu kementerian.

Malah jelas Fahmi matlamat asal penempatan pegawai terbabit ialah bagi membantu kerajaan terutama dari segi integriti atau pun pengisian kerohanian dalam sesebuah kementerian.

Bagaimana dengan bidang kuasa Jakim dalam pengesahan sijil halal?
Penglibatan Jakim dalam memberi pengesahan status halal kepada produk makanan dan barangan gunaan Islam di negara ini bermula pada 1974.

Sejak 1994 pula pengesahan halal diberi dalam bentuk sijil berserta logo halal, dan mulai 30 Sept 1998 pemeriksaan halal dilaksanakan oleh Syarikat Ilham Daya iaitu sebuah syarikat yang dilantik oleh kerajaan.

Pada 1 Sept 2002 kerajaan memutuskan bahawa semua urusan pengesahan halal dilaksanakan sepenuhnya oleh Jakim melalui Bahagian Kajian Makanan dan Barangan Gunaan Islam yang mempunyai hanya 28 jawatan.

Dengan perkembangan pesat industri makanan di negara ini dan keperluan semasa umat Islam, pada 17 Nov 2005 Jabatan Perkhidmatan Awam meluluskan 165 perjawatan pelbagai skim dan gred dengan nama baru Bahagian Hub Halal.

Pada 2 April 2008, pengurusan pensijilan halal diambil alih oleh Halal Industry Development Corp. Perincian lanjut mengenai pensijilan halal boleh diakses melalui web myehalal. http://myehalal.halal.gov.my/portal-halal/v1/index.php

Apakah antara isu kontroversi yang pernah ditangani Jakim?
Mutakhir ini terdapat beberapa isu kontroversi yang perlu ditangani dengan penglibatan dan bidang kuasa Jakim. Antara lain seperti isu rekaan kasut yang didakwa memaparkan kalimah Allah.

Jakim dengan drastik mengarahkan syarikat terbabit supaya menarik balik serta-merta produk itu di 70 cawangannya di seluruh negara.

Selain itu Jakim juga bertanggungjawab dalam isu kontroversi melibatkan penceramah bebas Don Daniyal Don Biyajid selepas kandungan ceramahnya berkaitan kisah hidup Nabi Muhammad SAW mengelirukan sehingga mengundang kritikan pelbagai pihak.

Terdahulu Jakim juga memainkan peranan dalam kontroversi rangkaian kedai serbaneka berhubung kontroversi stoking tertera kalimah "Allah."

Pada penghujung tahun lalu pula, Jakim campur tangan bagi menjelaskan isu sebuah kedai kek yang didakwa tidak membenar tulisan Merry Christmas atau X'Mas pada kek.

Agensi itu menjelaskan tiada halangan bagi premis perniagaan yang mempunyai sijil pengesahan halal untuk menerima permintaan pelanggan menulis sebarang ucapan perayaan pada tempahan kek atau seumpamanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS