Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Imigresen tahan 228 warga asing tukar majikan secara tidak sah

Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menahan 228 warga asing dipercayai menggunakan perkhidmatan agensi pekerjaan untuk menukar majikan secara tidak sah dalam satu operasi bersepadu di sebuah premis di Lunas, dekat Kulim, Rabu lepas.

Pengarah JIM Kedah Mohd Ridzzuan Mohd Zain berkata kesemua ditahan terdiri daripada 222 lelaki warga Bangladesh, tiga lelaki dan dua wanita warga China serta seorang lelaki warga India.

“Agensi pekerjaan itu telah menawarkan perkhidmatan menukar majikan dalam pelbagai sektor pekerjaan dengan bayaran yang telah ditetapkan dan kelulusan diperlukan terlebih dahulu sebelum mereka boleh dibekalkan kepada majikan baharu.

“Agensi berkenaan menggunakan platform media sosial untuk mempromosikan penawaran pekerja di semua jenis sektor dan berjaya menyakinkan majikan terdesak yang memerlukan pekerja dengan segera,” katanya dalam kenyataan di Alor Setar hari ini.

Mohd Ridzzuan berkata kesemua yang ditahan telah dibawa ke Pejabat Imigresen Alor Setar untuk proses dokumentasi dan tindakan lanjut.

Beliau berkata kes disiasat di bawah Akta Imigresen 1959/63, Peraturan-Peraturan Imigresen 1963, Akta Pasport 1966 dan Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran 2007.

“Orang ramai diingatkan supaya berhati-hati dalam memilih agensi pekerjaan dan memastikan agensi berkenaan berdaftar dengan Kementerian Sumber Manusia dan Kementerian Dalam Negeri bagi mengelakkan daripada menjadi mangsa penipuan,” katanya.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS