Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Perlembagaan jelas, tiada KM 'hatrik' di Pulau Pinang - Loke

DAP berkata perlembagaan Pulau Pinang sudah menyatakan dengan jelas bahawa seseorang Adun yang sudah berkhidmat sebagai ketua menteri selama dua penggal tidak lagi boleh menyandang jawatan tersebut untuk penggal ketiga.

Setiausaha AgunG DAP Anthony Loke berkata dalam keadaan peraturan sudah jelas mengenainya, adalah agak tidak masuk akal wujud cadangan untuk mengangkat seseorang Adun yang pernah menjadi ketua menteri selama dua penggal untuk kembali ke posisi tersebut.

“Perlembagaan Pulau Pinang sudah jelas menyatakan bahawa sesiapa yang telah berkhidmat dua penggal tidak boleh menjadi ketua menteri sekali lagi,” katanya.

Dia yang juga menteri pengangkutan berkata demikian sebagai mengulas persoalan dibangkitkan bekas ahli jawatankuasa eksekutif pusat (CEC) parti itu, Teng Chang Khim seperti dilaporkan Malaysiakini hari ini.

Teng yang juga bekas pengerusi DAP Selangor berkata, pemimpin DAP mesti memberi jaminan bahawa seseorang Adun Pulau Pinang yang sudah berkhidmat sebagai ketua menteri selama dua penggal tidak akan dilantik semula ke tempat tersebut.

Walaupun tidak menyebut sebarang nama dalam temu bual audio siar kendalian Malaysiakini semalam, kenyataan Teng itu secara halus merujuk kepada Pengerusi DAP Kebangsaan, Lim Guan Eng.

Tanda tanya pengganti Chow

Untuk rekod Guan Eng menjadi ketua menteri di Pulau Pinang sejak Pakatan Rakyat menguasai negeri itu melalui PRU 2008 dan dia berkhidmat di jawatan tersebut sehinggalah dilantik menjadi menteri kewangan pada Mei 2018.

Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang menggubal undang-undang bagi mengehadkan tempoh seseorang ketua menteri untuk berkhidmat maksium dua penggal pada 2018.

Rang Undang-undang (RUU) Perlembagaan Negeri Pulau Pinang (Pindaan) 2018 itu diluluskan DUN berkenaan pada 6 Nov sebagai sebahagian daripada pelaksanaan manifesto PH dalam PRU ke-14 itu.

Kelmarin Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow mengumumkan dia akan meletakkan jawatan sebagai pengerusi DAP negeri itu dalam konvensyen parti tersebut pada 22 Sept ini.

Chow Kon Yeow

Pengunduran Chow itu mencetuskan persoalan mengenai siapakah penggantinya.

Media berbahasa Cina melaporkan spekulasi bahawa antara calon berpotensi menjadi ketua menteri baru selepas ini ialah Menteri Sumber Manusia, Steven Sim, atau Timbalan Menteri Kewangan, Lim Hui Ying, yang merupakan adik perempuan Guan Eng.

Terdapat juga spekulasi mendakwa Guan Eng - yang merupakan anak veteran DAP, Lim Kit Siang - boleh berperanan besar di negeri itu dari belakang tabir.

Kata Loke, DAP akan terus menghormati perlembagaan negeri tersebut.

“Justeru tidak ada persoalan sama sekali mengenai sesiapa yang telah berkhidmat selama dua penggal untuk kembali berkhidmat sebagai ketua menteri semula,” tambahnya.

Sementara itu, Kit Siang ketika ditanya mengenai kemungkinan anak perempuannya akan diangkat mengisi tempat Chow, memilih untuk menolak daripada mengulas perkara tersebut.

"Anda tanyalah orang yang berkaitan dalam pasukan (DAP). Saya sudah bersara daripada politik barisan hadapan," katanya.

[Baca berita penuh]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS