Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Wajibkan sijil halal akan tambah beban peniaga, malukan negara'
Diterbitkan:  Sep 6, 2024 6:15 PM
Dikemaskini: 10:16 AM

Cadangan mewajibkan restoran dan syarikat makanan yang tidak menyajikan daging babi serta alkohol mendapatkan pensijilan halal berpotensi menambah beban kepada perniagaan termasuk melibatkan ribuan pengusaha restoran Melayu.

Ahli parlimen Seputeh, Teresa Kok berkata langkah itu bertentangan dengan semangat kepelbagaian budaya selain mungkin menjadikan Malaysia sebagai bahan ejekan di luar negara.

"Apabila kerajaan mewajibkan premis makanan mempunyai sijil halal, ia dilihat akan menambah beban kepada perniaga kecil.

“Walaupun banyak restoran tidak menyediakan daging babi atau alkohol, mereka tidak memohon pensijilan halal. Ini termasuklah ribuan pengusaha restoran kecil Melayu.

"Pengenalan pensijilan halal secara wajib akan menambah kos pentadbiran. Pensijilan halal seharusnya bersifat sukarela, membolehkan pengusaha membuat keputusan berdasarkan permintaan pasaran, dan bukannya dilaksanakan secara paksa yang akan menambah kesukaran operasi perniagaan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Semalam Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dilapor mempertimbangkan cadangan untuk mewajibkan pensijilan halal bagi restoran dan syarikat makanan yang tidak menyediakan hidangan daging babi dan alkohol.

Bagaimanapun Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Mohd Na’im Mokhtar, menjelaskan ada beberapa langkah yang perlu diambil sebelum ia boleh dilaksanakan.

“Ketika ini tiada undang-undang mewajibkan pengusaha restoran atau syarikat makanan memiliki sijil halal.

“Apabila katakan kita nak mewajibkan semua (restoran) ada sijil halal, beberapa akta ataupun undang-undang itu perlu perlu dipinda.

“Banyak agensi akan terlibat untuk menguatkuasakannya,” katanya.

Pilihan pengguna

Mengulas lanjut, Teresa berkata pengguna berhak memilih sama ada untuk mengunjungi restoran yang telah disahkan halal atau tidak.

"Pensijilan halal secara mandatori akan menghadkan fleksibiliti perniagaan dan mempengaruhi kebebasan pilihan pengguna.

"Pengawalan yang berlebihan ini bukan sahaja mengekang kebebasan pengurusan perniagaan tetapi juga tidak menghormati kehendak pengguna," tambahnya.

Katanya, Malaysia pada masa ini tidak mempunyai undang-undang sedemikian dan pelaksanaan mandatori ini bercanggah dengan undang-undang sedia ada serta mungkin memerlukan pindaan kepada pelbagai undang-undang.

“Lebih penting lagi, campur tangan ini bertentangan dengan semangat kebebasan ekonomi dan autonomi perniagaan yang sering dianjurkan oleh kerajaan, dan akan memberi kesan negatif kepada kerajaan perpaduan.

“Jika pensijilan halal ini diwajibkan, ia bukan sahaja akan mencetuskan reaksi negatif dalam negara, malah mungkin memalukan negara kita di peringkat antarabangsa," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS