Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Perak akan laksana peraturan mandulkan anjing sebelum mohon lesen

Kerajaan negeri Perak dalam perancangan untuk menguatkuasakan peraturan mewajibkan mana-mana individu yang memohon lesen untuk memelihara anjing melakukan proses pemandulan bagi mengawal peningkatan jumlah haiwan itu di negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri Perak Sandrea Ng berkata pihaknya kini sedang mengemas kini beberapa peraturan yang berkaitan perkara berkenaan sebelum ia mula dilaksanakan sepenuhnya nanti.

"Kita (kerajaan negeri) mengadakan perbincangan dengan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) Negeri Sembilan (yang telah melaksanakan peraturan itu sejak tahun lepas) mengenai beberapa perkara termasuk implikasi pelaksanaan peraturan berkenaan.

"Ini kerana timbul beberapa isu di Negeri Sembilan seperti pemilik anjing tidak mahu mandulkan haiwan peliharaan mereka disebabkan faktor kos yang agak tinggi dan mereka tidak mahu memohon lesen. Jadi, kita mengambil kira perkara itu sebelum laksanakan sepenuhnya," katanya pada sidang media di Bangunan Perak Darul Ridzuan di Ipoh hari ini.

Dalam pada itu, Sandrea berkata sebanyak 4,856 anjing liar di seluruh negeri berjaya ditangkap sepanjang tempoh lapan bulan pertama tahun ini.

Sementara itu, beliau berkata pihaknya dengan kerjasama Majlis Daerah Kampar dan beberapa pertubuhan bukan kerajaan akan melaksanakan Kempen Pemandulan Anjing Bersubsidi di Dewan Bandaran Gopeng selama tiga hari bermula 27 Sept depan.

Beliau berkata subsidi sebanyak RM50 akan diberikan kepada setiap anjing yang menjalani proses pemandulan berkenaan.

"Program ini adalah salah satu inisiatif kerajaan negeri untuk memberi maklumat dan kesedaran kepada orang awam mengenai anjing jalanan yang semakin berleluasa selain menangani penyakit rabies daripada merebak," katanya.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS