Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Semakan Akta Hasutan belum dimuktamadkan - Kulasegaran

Semakan semula Akta Hasutan 1948, seperti yang dipersetujui jemaah menteri secara prinsip Julai tahun lalu, masih belum dimuktamadkan, menurut Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang) M Kulasegaran.

“Ia masih dalam kajian, tiada keputusan muktamad. Kabinet masih belum membincangkan perkara itu,” katanya kepada pemberita di Persidangan Perundangan Antarabangsa Berkenaan Ancaman Dalam Talian 2024 di Kuala Lumpur, hari ini.

Kulasegaran berkata demikian ketika diminta mengulas perkembangan terkini semakan akta tersebut.

Julai tahun lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi) Azalina Othman Said berkata jemaah menteri bersetuju secara prinsip supaya Akta Hasutan 1948 disemak bagi memastikan undang-undang itu digunakan hanya untuk melindungi institusi raja-raja daripada sebarang provokasi.

"Aspek lain berkenaan provokasi yang melibatkan agama dan bangsa akan diteliti termasuk penggubalan perundangan baharu jika perlu mengenai keharmonian dan perpaduan Negara dengan mengambil kira pandangan Institusi Raja-Raja sebagai ketua agama Islam, dan amalan serta prinsip terbaik antarabangsa.

"Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang, Jabatan Perdana Menteri (BHEUU, JPM) akan mengambil langkah yang sewajarnya dalam menyemak secara terperinci Akta Hasutan 1948 dan memastikan cadangan pindaan yang bakal dicadangkan adalah benar-benar bertujuan untuk melindungi Institusi Raja-Raja secara holistik," kata Azalina ketika itu.

‘Bukan satu kementerian saja’

Namun ketika diminta mengulas lanjut mengenai perkembangan semakan akta itu, Kulasegaran berkata perbincangan sedang berjalan dan kabinet hanya akan membuat penelitian apabila ia di peringkat akhir.

“Ia bukan (melibatkan) satu kementerian sahaja, bukan kementerian saya sahaja. Ia termasuk Kementerian Dalam Negeri (KDN). Ia datang daripada KDN dan mereka yang perlu mulakan.

“Saya cuma boleh cakap sedikit, selebihnya terpulang pada mereka (KDN).

“Malah, untuk soalan itu (menteri dalam negeri) Saifudin Nasution Ismail kena mulakan sebab Azalina sudah bangkitkan tahun lepas,” katanya lagi.



Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS