Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
‘Tengku Hassanal tunjuk contoh bagaimana sepatutnya kelakuan keluarga diraja’
Diterbitkan:  Sep 6, 2024 11:49 AM
Dikemaskini: 3:54 AM

Pengerusi  Pakatan Harapan Terengganu Raja Bahrin Shah memuji keseriusan dan ketegasan Tengku Mahkota Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah dalam isu dakwaan serangan kerabat diraja terhadap orang awam.

“Beliau dengan jelas sedang menunjukkan contoh kepada ahli keluarga diraja tentang bagaimana sepatutnya mereka berkelakuan, seperti yang dinyatakan dengan tegas dalam kenyataan, tiada siapa yang mengatasi undang-undang, walaupun ahli keluarga diraja,” kata Raja Bahrin.

Kira-kira 10 jam selepas laporan Malaysiakini semalam, Tengku Hassanal bertitah supaya polis mengambil tindakan tegas terhadap kerabat diraja negeri itu yang didakwa menyerang orang awam.

Baginda mengarahkan tindakan tegas serta siasatan yang adil tanpa sebarang kompromi.

Baginda juga mengingatkan "tiada sesiapa pun yang lebih tinggi dari undang-undang, termasuk kerabat diraja." 

Raja Bahrin Shah

Titah baginda, sekiranya terdapat bukti kesalahan dilakukan, ia hendaklah dibawa ke mahkamah untuk dituduh dan dibicarakan

Baginda juga memberikan komitmen bahawa istana tidak akan melindungi pihak yang terlibat dengan kegiatan jenayah dan undang-undang, termasuk kerabat.

Dalam kenyataan hari ini, Raja Bahrin yang juga kerabat diraja Terengganu berkata kenyataan Tengku Hassanal semalam sangat dialu-alukan dan “menyegarkan”.

Katanya, tindakan baginda menyatakan pendirian itu beberapa jam selepas laporan Malaysiakini juga  menunjukkan betapa seriusnya baginda memandang isu itu.

“Latar belakang pendidikan yang mantap serta didikan moral yang teguh telah memberikan Tengku Hassanal  kebijaksanaan dan keberanian untuk menyuarakan isu-isu berkaitan kepentingan umum dan rakyat jelata. 

“Ini juga mengikuti tradisi keluarga,” kata Raja Bahrin.

Raja Bahrin juga berkata pendirian itu bukan baru kerana baginda konsisten bersuara mengenai pelbagai isu yang melibatkan masalah sosial dan hal-hal berkaitan alam sekitar sebelum ini.

“Almarhum datuknya, Sultan Ahmad Shah, yang terkenal dengan kemurahan hati serta selalu menjadi yang pertama melawat lokasi banjir dan bencana alam, sangat rapat dengan rakyat jelata kerana keprihatinannya terhadap golongan yang kurang bernasib baik.

“Tradisi legenda ini membuatkan baginda sangat dekat serta  mesra dengan rakyat,” katanya.

Raja Bahrin berkata Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan permaisuri Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah juga menunjukkan contoh baik dan berjaya menawan hati rakyat.

Ini seperti program jelajah di Sabah dan Sarawak dengan baginda memandu sendiri kenderaan semasa menjadi Yang di-Pertuan Agong. 

Al-Sultan Abdullah dan Tengku Hassanal ketika jelajah di Sabah dan Sarawak semasa menjadi Agong

“Tindakan yang tidak pernah terjadi sebelum ini amat dihargai oleh rakyat jelata terutamanya yang agak terpencil di Borneo,” katanya.

Pagi semalam, Malaysiakini melaporkan pekerja pembinaan jalan Alias Awang, 44, mendakwa menjadi mangsa serangan berkumpulan oleh seorang “anak Tengku” dan orang suruhannya di Kuantan Pada 6 Jun lalu.

Ia dipercayai berpunca daripada pertikaian berkaitan isu tanah di Rompin.

Anak kepada lapan orang anak itu mendakwa seorang orang suruhan kerabat itu menikam kakinya dengan pisau manakala kerabat itu pula menembak kakinya tetapi tersasar.

Kes disiasat bawah Seksyen 324 dan Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kecederaan menggunakan senjata dan merusuh.

Alias Awang

Ketua Polis Daerah Kuantan Wan Mohd Zahari Wan Busu semalam memberitahu Malaysiakini bahawa tiga orang yang disyaki sebagai suspek utama direman tujuh hari bagi membantu siasatan, sebelum dibebaskan dengan jaminan polis. 

Dua lagi individu juga ditahan dan dibebaskan selepas keterangan mereka direkodkan, tambah Wan Mohd Zahari. 

Ditanya mengenai dakwaan mangsa berkenaan penggunaan sepucuk pistol dalam kejadian itu, dia berkata polis masih memeriksa dakwaan tersebut.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS