Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Jakim pertimbang wajibkan sijil halal
Diterbitkan:  Sep 6, 2024 11:29 AM
Dikemaskini: 3:29 AM

Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) mempertimbangkan cadangan untuk mewajibkan pensijilan halal bagi restoran dan syarikat makanan yang tidak menyediakan hidangan daging babi dan alkohol.

Pun begitu Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Mohd Na’im Mokhtar, menjelaskan ada beberapa langkah yang perlu diambil sebelum ia boleh dilaksanakan.

“Ketika ini tiada undang-undang mewajibkan pengusaha restoran atau syarikat makanan memiliki sijil halal.

“Apabila katakan kita nak mewajibkan semua (restoran) ada sijil halal, beberapa akta ataupun undang-undang itu perlu perlu dipinda.

"Banyak agensi akan terlibat untuk menguatkuasakannya,” kata menteri itu dan dilaporkan Free Malaysia Today hari ini.

Mohd Na'im berkata demikian pada sidang media di Persidangan Antarabangsa Undang-undang Keluarga 2024 di Shah Alam, Selangor.

Ketika ini, pengusaha restoran atau pemilik perniagaan makanan tidak tertakluk kepada mana-mana akta yang mewajibkan mereka memiliki sijil halal, sebaliknya mereka boleh memohon pengiktirafan itu secara sukarela.

Tiga hari lalu Jakim mengumumkan enam restoran popular yang sering dikunjungi umat Islam tidak mempunyai Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM) iaitu Johnny's Restaurant, Black Canyon, Dolly Dim Sum, Mr Dakgalbi dan Bungkus Kaw Kaw.

Namun, premis makanan berangkai jenama Ayam Penyet Best pula mempunyai empat kedai yang mempunyai SPHM yang masih sah, kata agensi kerajaan pusat itu.

Sehubungan itu Mohd Na’im menggesa masyarakat Islam supaya lebih peka dan mengambil inisiatif untuk menyemak status halal sesebuah restoran melalui platform yang disediakan Jakim seperti Portal Halal Malaysia.

Katanya, kesedaran yang tinggi dalam kalangan pengguna boleh membantu meningkatkan tekanan kepada pengusaha restoran untuk mendapatkan sijil halal.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS