Polis telah menahan pemandu bas yang merakam video murid sekolah rendah dan memuatnaiknya di TikTok.
Ketua Polis Johor M Kumar berkata lelaki berusia 24 tahun itu ditahan pada kira-kira pukul tiga pagi di Simpang Renggam, hari ini.
Lelaki itu kini disiasat di bawah Seksyen 15(a)(iii) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017 dan Seksyen 15(2) Akta Kanak-kanak 2001.
Kumar berkata polis turut merampas telefon milik suspek yang dipercayai digunakan untuk memuat naik rakaman yang yang dibuat.
Dia juga menggesa ibu bapa kepada kanak-kanak yang dirakam agar tampil membantu siasatan.
“Masyarakat terutama ibu bapa dinasihatkan agar sentiasa memantau aktiviti, perkembangan emosi serta fizikal anak-anak supaya perlakuan jenayah seksual terhadap kanak-kanak dikesan lebih awal dan penjenayah dapat dibawa ke muka pengadilan.
“Orang ramai juga diingatkan agar menjadi pengguna media sosial yang bijak dan tidak menyalahgunakan kemudahan teknologi tersebut bagi maksud yang menyalahi undang-undang,” katanya lagi.
Semalam, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Nancy Shukri mengarahkan Jabatan Pembangunan Kanak-Kanak di bawah kementeriannya untuk membuat laporan polis terhadap pemandu tersebut.
"Perilaku ini tidak boleh diterima dan tidak patut dinormalisasikan.
"Saya telah mengarahkan pegawai-pegawai daripada Jabatan Pembangunan Kanak-Kanak untuk segera membuat laporan polis, dan kami bersedia untuk bekerjasama dengan D11 (Jabatan Siasatan Jenayah Seksual dan Kanak-Kanak) di ibu pejabat polis Johor," kata Nancy.
Akaun TikTok lelaki itu memiliki lebih 640,000 pengikut dan memaparkan rakaman dia sedang memandu bas dengan kanak-kanak yang menaikinya dapat dilihat dengan jelas.
Dalam satu video yang dimuatnaiknya, dia merujuk seorang penumpang kanak-kanak sebagai “crush” dan mengeluarkan kata-kata tentang kanak-kanak yang dilihat ramai pengguna media sosial sebagai tidak wajar.
Ketika membalas komen seorang pengikut yang berkata dia membuatkan kanak-kanak itu tersipu-sipu, lelaki itu berkata dia menunggu kanak-kanak itu menjadi dewasa.