Bekas menteri undang-undang Zaid Ibrahim mempersoalkan kelambatan perkembangan kes serangan ke atas pemandu e-hailing OKU, Ong Ing Keong dan pekerja pembinaan, Alias Awang.
Zaid membandingkan dua kes itu dengan siasatan ke atas Pengerusi PN Muhyiddin Yassin di bawah Akta Hasutan, dengan 66 saksi diambil keterangan dan disusuli dengan pendakwaan hanya dalam tempoh beberapa hari.
“Muhyiddin tak serang sesiapa, tetapi mereka kata kata-katanya menyinggung mereka,” kata Zaid di X.
Zaid juga mempersoalkan sikap Peguam Negara (AG) Ahmad Terrirudin Mohd Salleh yang membisu.
“Kenapa AG kita berdiam diri?
“Ketika Abu Talib Othman dan Abdul Gani Patail jadi AG, mereka kerap berdepan dengan media dan mengendalikan pertanyaan orang awam. Ini adalah perkara berkaitan kepentingan awam yang patut ditangani sewajarnya,” katanya, sambil menambah AG sepatutnya memberi jaminan berkenaan kesaksamaan polis dan komited untuk mengambil tindakan pantas.
Semalam, Ong dan Lawyers for Liberty (LFL) menggesa Perdana Menteri Anwar Ibrahim menubuhkan sebuah suruhanjaya siasatan ke atas serangan ke atas lelaki itu yang didakwa berlaku di luar sebuah hotel di Kuala Lumpur pada 28 Mei lalu.
Ong ditumbuk oleh seorang pegawai polis yang bertugas sebagai pengiring Pemangku Sultan Johor Tunku Mahkota Ismail.
Pertubuhan Kebajikan dan Advokasi Pekak Malaysia (Dawn) pula mendakwa Ong telah menandatangani empat laporan polis, dengan tiga daripadanya disediakan oleh polis sendiri.
Pada 5 Jun lalu, Ketua Polis Negara Razarudin Husain berkata kertas siasatan telah dihantar ke Pejabat Peguam Negara.
Bagi satu lagi kes, Malaysiakini semalam melaporkan Awang mendakwa dia diserang oleh seorang kerabat diraja Pahang dan sekumpulan lelaki di Kuantan. Dia mendakwa ditikam di bahagian paha.
Dia juga mendakwa anggota kerabat itu melepaskan tembakan ke arah kakinya namun tidak mengena sasaran.
Ketua Polis Daerah Kuantan Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata tiga orang lelaki yang disyaki sebagai suspek utama dalam telah ditangkap dan direman tujuh hari bagi membantu siasatan, sebelum dibebaskan dengan jaminan polis.
Dia bagaimanapun enggan memberikan sebarang komen atau mengesahkan mengenai penglibatan seorang kerabat diraja dalam kejadian tersebut.
Sementara itu, Zaid turut membangkitkan titah Tunku Ismail dan Tengku Mahkota Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah agar keadilan ditegakkan dalam dua kes itu.
Zaid turut menggesa Anwar untuk berbincang dengan polis tetang bagaimana untuk mengendalikan kes seumpama itu.
“Saya lihat reaksi pantas dan tegas hanya apabila kata-kata rakyat menyinggung kerabat diraja.
“Jika begitu, kita boleh sekurang-kurangnya harap polis dan AG turut bertindak pantas apabila rakyat melaporkan kes serangan yang menyebabkan kecederaan,” katanya lagi.