Bangunan lama Sekolah Kebangsaan (SK) Bangi yang berusia 100 tahun bakal tinggal kenangan buat warga dan alumninya apabila kerja meroboh bangunan lama dan membina bangunan baru dijangka bermula semasa cuti sekolah nanti.
Dibina pada 13 Sept 1924, sekolah tersebut pada asalnya dikenali sebagai Bangi English School sebelum ditukar nama kepada Sekolah Melayu Bangi dan kemudian Sekolah Kebangsaan Bangi.
Pada masa ini terdapat kira-kira 1,700 orang murid menuntut di SK Bangi dengan tenaga pengajar seramai 96 guru.
Menurut Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SK Bangi, Khamsaton Suliman, bangunan lama terpaksa diroboh kerana tidak mampu menampung bilangan murid pada masa ini.
Justeru, katanya, kerajaan memperuntukkan sebanyak RM35 juta bagi membina bangunan baru.
“Bangunan lama Sekolah Kebangsaan Bangi dirobohkan kerana ruang, kawasan dan bilik darjah yang tidak mencukupi untuk menampung bilangan murid yang semakin ramai.
“Jadi peruntukan ini diluluskan oleh Kementerian Pendidikan dan Jabatan Kerja Raya untuk membuat bangunan baru di mana ada tiga blok dengan kos lebih kurang RM35 juta,”katanya.
Ditanya mengenai cabaran yang dihadapinya, Khamsaton berkata pada awalnya alumni sekolah berkenaan membantah bangunan lama dirobohkan, namun akhirnya akur apabila pihak sekolah menjelaskan keperluan membina bangunan baru.
Sementara itu, bekas pelajar sesi 1967-1972, Kamaruzaman Aziz berkongsi perasaan kecewa dan sedih apabila mendapat tahu bangunan bersejarah itu bakal dirobohkan.
Menurutnya, bangunan yang pernah menjadi bilik darjah bagi murid-murid yang lahir pada 1930-an sehingga 1980-an itu mempunyai nilai sentimental yang tinggi.
“Pada waktu rehat kalau duit belanja saya dan kawan-kawan saya tidak cukup, kami akan memanjat pokok rambutan di tepi bangunan yang dibina pada 1937 itu untuk mengambil buah rambutan dan emua akan bergegas turun apabila disengat tebuan sehingga ada yang bengkak di muka,” katanya mengimbau kenangan.
Bagi seorang lagi alumni, Azizul Ikhwan Mohd, 37, bangunan tersebut menjadi tempat menimba ilmu bagi ahli keluarganya sejak bergenerasi, bermula dari moyangnya.
Malah kata Azizul, datuk, ibu dan kesemua adik beradiknya juga pernah belajar di bangunan lama sekolah berkenaan.
“Di bangunan ini ada stor yang dikelola oleh pembantu sekolah yang saya panggil Tuk Ramli. Kadang-kadang di situlah tempat saya menghabiskan masa rehat dengan membantu dia membersihkan mesin rumput.
“Namun, sayang sekali apabila saya mendapat berita bahawa bangunan bersejarah ini bakal dirobohkan untuk memberi laluan kepada pembinaan bangunan baru," katanya.