Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

Persatuan Aktivis Sahabat Alam (Kuasa) membantah projek Pure Green Development Sdn Bhd untuk membangunkan ladang kelapa sawit baru di kawasan hutan di daerah Kuala Nerus, di Terengganu.

Pengerusi Kuasa, Hafizudin Nasarudin berkata projek tersebut jelas tidak mampan untuk alam sekitar.

“Kita membantah sekeras-kerasnya projek tersebut dan kalau boleh janganlah buat kerana kawasan yang ingin dibangunkan itu memang tak sesuai.

“Satu, dia merupakan kawasan hutan semulajadi dan yang kedua hutan itu adalah hutan paya gambut, iaitu hutan yang paling sensitif dalam negara kita.

“Yang ketiga, kita dekat Malaysia ini tak banyak dah hutan paya gambut ini, jadi kita perlu selamatkan hutan paya gambut ini,” katanya kepada Malaysiakini.

Jelas Hafizudin, hutan paya gambut sangat penting kepada alam sekitar kerana ia bertindak sebagai ‘span’ karbon dioksida selain menjadi penebat kepada masalah banjir.

“Termasuklah isu-isu dia adalah habitat kepada hidupan liar dan ekosistem yang penting. Jadi, apabila ia digantikan dengan sawit memang ia tak boleh berlaku,” tegasnya.


BACA BERKAITAN:

Projek Sultan T'ganu, adinda cetus kebimbangan alam sekitar


Menurut Hafizudin, negara juga akan berdepan masalah besar sekiranya pelaksanaan ladang kelapa sawit di hutan paya gambut tersebut tidak diurus tadbir dengan baik.

“Kita tahu, kalau di Indonesia masalah terbesar industri sawit ini adalah apabila mereka buat di hutan paya gambut dan apabila hutan ini dibuka dan pokok-pokok asalnya tak ada kemudian ditanam dengan sawit satu hari nanti sampai tempoh matang mereka kena salin balik (tanaman sawit ini) dan kita bimbang mereka bakar sawit terbabit.

“Ada di kalangan peneroka-peneroka sawit ini akan ambil jalan mudah dengan membakar. Apabila dibakar kawasan bekas hutan gambut itu, ia memang susah untuk dipadam, dan ia akan mengakibatkan pembakaran hutan yang teruk dan juga jerebu yang teruk,” jelasnya.

Tidak mampan dari segi ekonomi

Malah, Hafizudin menegaskan sekiranya projek terbabit diteruskan dia yakin hasil tanaman tersebut tidak akan dapat dieksport ke luar negara.

“Kerana ada SPO (program minyak sawit mampan) dengan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO), dia tak akan certified sawit ini untuk dieksport ke luar negara.

“Jadi, memang projek sawit ini sangat tidak mampan kepada alam sekitar dan dari segi ekonomi. Jadi, kesimpulannya memang kita membantah sekeras-kerasnya projek ini dan gesa pihak kerajaan negeri Terengganu tidak meluluskan projek ini dan pihak pemaju yang didukung oleh kerabat Sultan Terengganu ini buatlah di kawasan yang lain.

“Banyak lagi tanah-tanah lapang dan tanah terbiar yang lain, khususnya yang di luar hutan simpan, luar daripada hutan paya gambut boleh dibuat projek ini,” katanya.

Hafizudin Nasarudin

Malah, Hafizudin berkata kerajaan pusat menerusi Kementerian Perladangan dan Komoditi juga telah maklumkan dan berjanji bahawa tiada lagi pembukaan ladang baru bagi tanaman kelapa sawit di kawasan hutan, khususnya kawasan hutan simpan dan juga kawasan hutan semula jadi, termasuk hutan paya gambut.

“Itu janji menteri, jadi bagaimana boleh ada kelulusan di peringkat negeri?” soalnya.

Jangan salah guna kuasa

Tegas Hafizudin lagi, Jabatan Alam Sekitar juga sebenarnya tidak boleh luluskan laporan penilaian impak alam sekitar (EIA) projek itu.

“EIA ini tak boleh diberi kelulusan dan saya gesa kerabat Sultan Terengganu ini jangan salah gunakan kuasa dan posisi dia untuk menghalalkan projek ini.

“Projek ini memang tak mampan untuk alam sekitar dan sangat-sangat tak sesuai dan kita membantah sekeras-kerasnya projek tersebut,” tegasnya.

Tambahnya, dia juga hairan kenapa negeri Terengganu masih lagi mahu memusnahkan hutan bagi tujuan sumber ekonomi.

Sedangkan, katanya Terengganu mempunyai royalti petroleum.

“Tak cukup lagi ke (hasil) daripada royalti petroleum itu untuk menjana ekonomi negeri? Sampai bila nak kacau hutan ini sebab kalau Kelantan kita fahamlah sebab tidak ada royalti petroleum, dia masih mengharapkan sumber daripada pembalakan, perlombongan, perladangan dan sebagainya.

“Tetapi Terengganu ini duit dah banyak tapi masih lagi nak manipulasi hutan. Jadi, kita tak setujulah dan kita menyanggah keputusan kerajaan negeri dan juga syarikat ini sendiri,” katanya.

Malaysiakini sebelum ini melaporkan syarikat Pure Green Development Sdn Bhd mengemukakan EIA dua bulan yang lalu untuk membangunkan ladang kelapa sawit di kawasan hutan di daerah Kuala Nerus.

Projek itu menimbulkan kontroversi kerana selain dijangka memberi kesan terhadap hutan, kebimbangan turut timbul terhadap risiko banjir dan gangguan bekalan air semasa musim kemarau.

Pure Green Development dimiliki oleh adinda kepada Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin.

EIA itu juga mendedahkan syarikat berbeza yang dimiliki oleh sultan sedang membersihkan hutan di kawasan bersebelahan.

Merugikan negara

Mengulas lanjut, aktivis Alam Sekitar dan Naib Presiden EcoKnights Amlir Ayat berkata pelaksanaan projek terbabit hanya akan memberi dampak negatif yang amat besar akibat kehilangan kawasan hutan paya gambut dara seluas 2,229 hektar itu.

“Ini ialah gangguan terhadap bekalan air, banjir dan kebakaran hutan. Hutan paya gambut berfungsi sebagai penyimpan air atau ‘span’ yang sangat berkesan yang mampu meminimumkan risiko banjir.

“Ketiadaan ekosistem ini pasti meningkatkan risiko limpahan air yang akan membanjiri kawasan di sekitarnya yang pasti menyukarkan kehidupan rakyat tempatan untuk tempoh yang panjang. Fungsi pengimbuhan air bawah tanahnya (groundwater recharge) juga akan terjejas dan mengancam kestabilan kitaran hidrologi di kawasan tersebut,” jelasnya.


BACA BERKAITAN:

Pecahkan projek di hutan simpan: Bagaimana pemaju guna 'kelemahan peraturan'


Menurut Amlir, oleh kerana paya gambut terdiri daripada bahan organik yang telah mereput selama ribuan tahun, ia mudah terbakar dengan lama khususnya apabila terdedah kepada cuaca panas.

“Hutan paya gambut juga merupakan penyimpan atau ‘sinki’ karbon dalam jumlah yang sangat besar iaitu kira-kira 2,000 ton metrik karbon per hektar. Ini menyamai karbon yang dibebaskan oleh kira-kira 1,600 buah kenderaan setahun. Jika ekosistem ini dimusnahkan, ia akan meruncingkan lagi krisis perubahan iklim yang dialami di seluruh dunia kini,” katanya.

Jelasnya, kekurangan jumlah permukaan bumi yang dilitupi hutan juga menyukarkan negara mencapai komitmen di persada antarabangsa untuk mengekalkan 50 peratus permukaan bumi Malaysia sebagai kawasan hutan.

Difahamkan, Malaysia ketika ini mempunyai kira-kira 54.58 peratus permukaan muka bumi sebagai kawasan hutan.

“Kepelbagaian biologi ekosistem paya gambut yang sememangnya unik pasti akan terancam dan merugikan negara kita yang kaya dengan pelbagai spesies flora dan fauna yang banyak di antaranya tidak ditemui di tempat-tempat lain di dunia.

“Dengan prestasi sebegini, apakah pasaran minyak kelapa sawit Malaysia akan diterima di Eropah yang amat mementingkan kemampanan industri tersebut? Tidakkah projek merupakan sesuatu yang merugikan negara?”soalnya.

Ketetapan kerajaan pusat

Bagi Pegawai Lapangan, Sahabat Alam Malaysia (SAM), Meor Razak Meor Abdul Rahman pula pihaknya jelas berpegang kepada prinsip tidak bersetuju sama ada Hutan Simpanan Kekal (HSK) atau lain-lain kawasan perlindungan dimansuhkan atau dieksplotasi bagi tujuan penanaman kelapa sawit.

“Ketetapan ini jelas telah diputuskan oleh Kementerian Perladangan dan Komoditi sejak 2008 lagi selaras dengan salah satu syarat pensijilan MPSO.

“Dari semasa ke semasa Malaysia masih mengekalkan ketetapan tersebut malah baru-baru ini Menteri Perladangan dan Komoditi, Johari Abdul Ghani dengan tegas mengulangi ketetapan tersebut yang tidak membenarkan pembukaan dan penanaman kelapa sawit di kawasan hutan,” katanya.

Menurut Meor Razak, SAM juga dukacita terhadap beberapa negeri termasuk Terengganu yang tidak mahu mengguna pakai ketetapan yang diputuskan di peringkat persekutuan.

“Kita sedia maklum, hutan paya gambut merupakan jenis hutan yang kaya dengan kepelbagaian biologi yang semakin diancam kemusnahan.

“Kemusnahan hutan paya gambut akan menjejaskan ekosistem terutama perubahan suhu keliling apabila berlaku pelepasan karbon karbon dioksida yang tinggi.

“Kemusnahan hutan paya gambut juga secara langsung akan memusnahkan habitat kepelbagaian biologi flora dan fauna unik yang biasanya tidak ada atau tidak ada di jenis hutan yang lain,” katanya.

Pendek kata, Meor Razak berkata SAM tetap membantah cadangan untuk membangunkan ladang kelapa sawit di kawasan Hutan Simpan Belara dan lain-lain kawasan Hutan Simpan Kekal dalam negara.

Malah katanya, sepatutnya tidak timbul isu kerajaan negeri hendak memusnah dan mengeksploitasi kawasan hutan simpan kekal ini.

“Kerana negeri Terengganu setiap tahun menerima royalti petroleum daripada Kerajaan Persekutuan. Oleh demikian kerajaan negeri sepatutnya beransur-ansur beralih kepada sumber ekonomi lain yang tidak berasaskan eksploitasi sumber alam kepada sumber ekonomi mampan dan termaju,” tegasnya.

Kerajaan perlu kotakan janjinya

Pakar perhutanan Lim Teck Wyn menggesa kerajaan agar menunaikan komitmen untuk menghentikan pembasmian hutan.

“Menteri perladangan berjanji (untuk menghentikan pembasmian hutan untuk projek kelapa sawit), begitu juga dengan timbalan menteri.

“Malah, perdana menteri dan menteri alam sekitar berjanji untuk mengekalkan 50 peratus hutan kita,” katanya kepada Malaysiakini.

Dia juga menggesa kerajaan untuk merangka formula ekonomi yang menyeluruh bagi menjamin janji itu ditunaikan.

Setakat ini katanya lagi, yang ada hanya inisiatif Pemindahan Fiskal Ekologi dan itu belum memadai.

“Setakat ini, ia melibatkan peruntukan RM200 juta tetapi jumlah itu perlu lebih tinggi. Majlis Tanah Negara perlu mula berunding berkenaan perkara ini.

“Jika tidak, takkan ada perubahan di lapangan. Hutan akan terus ditebang,” katanya lagi.



Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS