Kita pernah betul-betul belajar dari Rusia. Perdana menteri Kedua, Abdul Razak Hussein di awal 1970-an memetik sekurang-kurangnya dua gagasan ekonomi-politik dari sana. Keduanya kemudian telah meletakkan asas dan mengubah landskap sosioekonomi Malaysia buat selama-lamanya.
Pertama yang menyentuh Dasar Tindakan Afirmatif; dan kedua, Pelan Rancangan Lima Tahun. Strategi dua serangkai itu tujuannya ialah untuk memacu dan memulihkan kesenjangan ekonomi selepas peristiwa berdarah Mei 1969.
Dengan Tindakan Afirmatif, maka lahirlah Dasar Ekonomi Baru (DEB); sementara pelan ekonomi lima tahun melahirkan apa yang kita kenal sebagai Rancangan Malaysia Pertama, 1966.
Konteks sejarahnya bermula pada awal abad ke-20, ketika ekonomi Rusia mengalami kemelesetan amat teruk.
Oleh kerana pemikiran Marx-Leninis menjadi teras negara Kesatuan Soviet bawah pimpinan Joseph Stalin, maka suatu dasar ekonomi kebangsaan dirumus bagi menandingi sistem kapitalisme Barat yang diramal bakal runtuh. Filasuf besar ekonomi-politik abad ke-19, Karl Marx misalnya percaya, keruntuhan kapitalisme adalah sesuatu yang pasti. Hanya menunggu masa dan ketikanya sahaja.
Sebelum Stalin, Vladimir Lenin telah berusaha menyambung dan ‘menyiapkan’ idea-idea pokok Karl Marx, terutamanya cebisan-cebisan yang dikatakan tidak beres di dalam buku Marx yang masyhur, Das Kapital.” Di sana ada pula teori yang dikenali sebagai “Nilai Lebih.” Menurut Marx, Nilai Lebih itulah yang menjadi dasar kepada ekonomi kapitalis.
Nilai Lebih bererti selisih keuntungan yang diraih kaum pemodal daripada produktiviti kaum buruh. Misalnya upah buruh memerlukan sesebuah perusahaan memproduksi 100 biji kereta sebulan, apabila dengan jumlah pekerja yang sama perusahaan dapat memproduksi 300 biji kereta, di situlah selisih 200 biji kereta yang memberikan keuntungan selepas ditolak semua kos.
Hari ini, prinsip Nilai Lebih bukan sahaja dapat dihasilkan oleh para pekerja, namun sebahagiannya digantikan oleh mesin dan teknologi. Sungguh begitu, apa yang dikritik ialah kadar upah buruh tetap serupa walaupun misalnya pekerja tidak lagi diperlukan untuk mengutip wang di pondok-pondok tol. Selisih yang semakin besar itu terus-terusan dihirup oleh pemodal walaupun kos perusahaan sudah semakin rendah apabila mesin dan teknologi menggantikan manusia.
Demikian pula fenomena ketidakadilan wujud dan terus bersilih-ganti. Proses yang berterusan ini dijelaskan atau dinamakan pula sebagai “dialektika,” sama ada dalam ekonomi mahupun kehidupan. Makanya yang dipersoalkan bukan sahaja ketidakadilan di sesebuah perusahaan, syarikat atau pemodal; tapi lebih utama ialah punca-punca ketidakadilan itu sendiri yang membelenggu kehidupan manusia keseluruhannya.
Manusia tindas manusia
Dalam bahasa Perancis, masalah sedemikian disimpul dalam ungkapan “I’explotation de l’homme de l’homme par l’homme.” Atau maksudnya, “penindasan manusia ke atas manusia.”
Ungkapan tersebut sering juga dilafaz dan dikutip kembali oleh Soekarno dalam beberapa tulisannya sewaktu menjelaskan penindasan penjajahan ke atas bangsa-bangsa kulit berwarna. Sementara bagi Lenin, kolonialisme itu sendiri merupakan puncak atau buah pahitnya kapitalisme.
Daripada Tindakan Afirmatif yang diilhami daripada Kesatuan Soviet, maka muncul program-program ekonomi mega oleh kerajaan di era PM Abdul Razak seperti Felda atau Felcra. Beribu hektar tanah rancangan dibuka. Pesertanya dipilih di kalangan yang paling miskin, yang tidak mewarisi waima sejengkal tanah di kampung halaman mereka.
Beza Tindakan Afirmatif di Kesatuan Union ialah, tumpuan diberikan untuk menjadikan negara berkenaan sebagai kuasa perindustrian moden. Kilang-kilang dan perusahaan berat didanai oleh pemerintah dengan pemangku kepentingannya tetap rakyat dan negara—bukan pihak swasta.
Masa berlalu. Pada 1991 Kesatuan Soviet berakhir. Ada yang berjaya dan yang gagal. Strategi yang melihatkan perancangan lima tahun, misalnya, telah dikritik kerana ia hanya indah mata dan di atas kertas. Realiti, selok-belok dan turun-naik ekonomi bukan bidak catur yang boleh diperkira atau diramal. Lebih rumit, citarasa manusia tidak selalu dapat diterpa atau direncanakan.
Kita boleh lihat, berapa banyakkah sebenarnya dasar, program atau susunan dalam Rancangan Malaysia dapat benar-benar terlaksana? Apabila ada negara yang tidak mahu mewujudkan rancangan lima tahun atau wawasan jangka panjang, bukan sebab mereka bodoh. Tapi, mereka itulah yang lebih objektif dan bijak dengan menyedari bahawa hal ekonomi wajar diurus hari ke hari; bukan dibiarkan seperti auto-pilot yang boleh terbang sendiri.
Pun begitu yang mustahak dipertahankan daripada apa yang telah dipelajari sejak era Kesatuan Soviet itu ialah semangat menjelmakan keadilan rakyat. Dan kebetulan selepas tercetusnya Gerakan Reformasi 1998, antara perbincangan paling menonjol di Malaysia ialah menyentuh ekonomi kerakyatan.
Beberapa istilah seperti “peduli rakyat” atau “prihatin” mula bergema dengan tumpuan terus kepada golongan termiskin tanpa mengira kaum atau wilayah. Walhal sebelum itu, kemiskinan tidak habis-habis dikaitkan ke atas kaum tertentu sahaja.
Meski Reformasi berjaya sedikit-sebanyak menjernihkan pandangan lapuk terhadap makna keadilan sosial, namun apabila sentimen politik kaum mula rancak dimainkan tahun-tahun mutakhir ini, kita wajar bimbang persoalan kemiskinan akan kembali diperap bawah ketiak masam politik perkauman.
Kelaparan Melayu vs kelaparan Cina, India
Apakah terlalu susah untuk diterima kenyataan bahawa kelaparan yang dirasai oleh seorang Melayu sama sahaja dengan kelaparan seorang anak Cina atau India? Begitu juga dalam pengertian hidup bernegara yang lebih luas, kezaliman ke atas orang Melayu sama nilainya dengan kezaliman yang tertimpa kepada semua kaum-kaum lain.
Penindasan tidak pernah kenal warna kulit; seperti sakit tidak menimpa hanya untuk sesuatu marga. Seorang Melayu juga boleh menindas Melayu yang lain; sama seperti seorang Cina atau India yang juga boleh menindas sesama kaumnya.
Lantas dalam kempen pilihan raya presiden di Amerika Syarikat hari ini, kita mendengar antara modal besar Parti Demokrat ialah janji untuk memastikan kelas ekonomi pertengahan dapat dikembangkan. Maksudnya, kelompok miskin perlu dipastikan tidak terabai. Mereka seboleh-bolehnya diangkat ke tahap ekonomi pertengahan.
Dari situ persaingan lebih adil akan dapat diwujudkan. Sesiapa yang lebih bijak, rajin atau bernasib baik, mereka akan dapat pula melepaskan diri untuk ke tahap kelompok terkaya. Tujuan akhirnya ialah mewujudkan keseimbangan sosial; merapatkan jurang kaya-miskin.
Kesenjangan yang keterlaluan hanya ibarat bom yang menunggu untuk meledak. Berdasarkan pengalaman di negara kita, di situlah dahulu yang mencetuskan tragedi Mei 1969 itu. Dan perlu juga dicatat, dua faktor lain bagi mencapai keseimbangan ekonomi ialah; demokrasi yang sihat, dan; pimpinan yang berjiwa rakyat lagi jujur.
Cerita lapuk sepertimana kisah era DEB yang lebih diraih oleh elit ‘bumiputera Melayu’, ‘bumiputera Cina’ atau ‘bumiputera India’ diharap tidak lagi berulang. Elit dan bangsawan tetap punya hak-haknya di dalam sesebuah negara, tetapi bukan perlu terus dibela dan dipertahankan. Mereka sewajarnya sudah mampu berdiri dengan kaki sendiri. Hanya politik kuncuisme sahaja yang mempertahan yang kaya untuk terus kaya.
Kita juga wajar tidak lupa bagaimana ketika pentadbiran PM Abdul Razak sibuk membersihkan belantara raya untuk membuka tanah-tanah rancangan persekutuan, rupa-rupanya pada waktu sama, ada yang sibuk menyiapkan padang-padang golf di kota-kota. Kelab mewah dijadikan tempat untuk para YB, menteri dan menteri besar bertemu dengan para cukong. Yang gelap pun berjalan.
Kita harus berhati-hati agar sejarah tidak berulang. Terutama di depan kitab Yasin yang dibaca di bulan September itu; yang bagi sebahagian daripada kita, mengenangnya sebagai “bulan Reformasi.”
HASMI HASHIM atau Budi Hekayat seorang penulis lirik dan otai komuniti Jalan Telawi.
Artikel ini pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian sidang redaksi Malaysiakini.