Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Menteri arah tindakan terhadap pemandu bas sekolah rakam kanak-kanak
Diterbitkan:  Sep 5, 2024 11:52 PM
Dikemaskini: 3:52 PM

Kerajaan mengambil tindakan terhadap seorang pemandu bas sekolah yang dikecam kerana merakam video murid sekolah rendah dan memuat naik video tersebut di TikTok.

Pemandu bas di Johor itu menyatakan seorang kanak-kanak sebagai 'crush'nya dan membuat komen yang dianggap tidak wajar oleh ramai pengguna media sosial.

Sebagai respons terhadap bantahan orang ramai, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Nancy Shukri, berkata dia telah mengarahkan Jabatan Pembangunan Kanak-Kanak di bawah kementeriannya untuk membuat laporan polis terhadap pemandu tersebut.

"Perilaku ini tidak boleh diterima dan tidak patut dinormalisasikan.

"Saya telah mengarahkan pegawai-pegawai daripada Jabatan Pembangunan Kanak-Kanak untuk segera membuat laporan polis, dan kami bersedia untuk bekerjasama dengan D11 (Jabatan Siasatan Jenayah Seksual dan Kanak-Kanak) di ibu pejabat polis Johor," katanya di laman X.

Pemandu bas sekolah itu mempunyai lebih daripada 640,000 pengikut di Tik Tok dan sering memuat naik video sedang memandu bas.

Kebanyakan latar belakang video tersebut memaparkan kanak-kanak sekolah ketika mereka sedang duduk dalam bas berkenaan.

Dalam salah satu video, dia menyatakan seorang murid perempuan sebagai "crush" dan menunjukkan pelajar tersebut kelihatan tersipu-sipu malu.

Ketika membalas komen seorang pengguna yang berkata dia menyebabkan pelajar perempuan itu tersipu-sipu malu, pemuda itu berkata "aku tunggu dia besar."

Video-video dirinya bersama kanak-kanak tersebut mendapat ratusan ribu tontonan, sementara ribuan pengguna media sosial menyimpan video tersebut sebagai koleksi peribadi mereka.

Tidak jelas sama ada dia mendapat kebenaran daripada ibu bapa atau penjaga pelajar-pelajar tersebut untuk merakam dan menyebarkan video anak-anak mereka.

Ini mendorong gesaan oleh pengguna media sosial untuk melaporkan akaun TikToknya atas dakwaan melanggar garis panduan komuniti dengan mengeksploitasi mereka yang berumur bawah 18 tahun.

Bagaimanapun, ketika menjawab soalan daripada pengguna media sosial lain, pemuda itu mendakwa dia telah lama melakukan perkara itu dan ibu bapa kanak-kanak berkenaan juga "sporting" serta tidak membantah.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS