Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Tengku Hassanal arah tindakan tegas isu kerabat serang orang awam
Diterbitkan:  Sep 5, 2024 6:33 PM
Dikemaskini: 10:58 AM
  • Dikemas kini dengan tambahan maklumat daripada kenyataan rasmi Tengku Mahkota Pahang.


Tengku Mahkota Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah bertitah supaya polis mengambil tindakan tegas terhadap kerabat diraja negeri itu yang didakwa menyerang orang awam.

Gesaan itu dibuat hampir 10 jam selepas Malaysiakini melaporkan dakwaan seorang pekerja pembinaan jalan menjadi mangsa serangan berkumpulan kerabat diraja Pahang di Kuantan, Jun lalu.

"Saya mahu tindakan tegas dan siasatan yang adil, tanpa sebarang kompromi.

"Tiada sesiapa pun yang lebih tinggi dari undang-undang, termasuk kerabat diraja," titah baginda di Insta Story sebentar tadi.

Baginda turut berkongsi rakaman skrin laporan Malaysiakini berkaitan perkara itu pagi tadi.

Alias Awang, 44, mendakwa dia diserang di sebuah kandang kuda di Kuantan oleh kira-kira 20 orang termasuk seorang “anak Tengku” pada 6 Jun lalu, susulan pertikaian berkaitan isu tanah.

Anak kepada lapan orang anak itu mendakwa seorang orang suruhan kerabat itu menikam kakinya dengan pisau manakala kerabat itu pula menembak kakinya tetapi tersasar.

Sementara itu, baginda juga mengeluarkan kenyataan rasmi berkaitan isu petang ini.

"Sekiranya terdapat bukti kesalahan dilakukan, ia hendaklah dibawa ke mahkamah untuk dituduh dan dibicarakan," titah baginda.

Baginda memberikan komitmen bahawa istana tidak akan melindungi pihak yang terlibat dengan kegiatan jenayah dan undang-undang, termasuk kerabat.

Ketua Polis Pahang Yahaya Othman hari ini berkata polis sedang melengkapkan kertas siasatan sebelum diserahkan semula kepada timbalan pendakwa raya.

Kes disiasat bawah Seksyen 324 dan Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kecederaan menggunakan senjata dan kerana merusuh.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS